
KUCHING, 19 Julai – Seorang lelaki ditemukan telah meninggal dunia berhampiran bot miliknya di Kampung Sebuluh Cina, Lundu, petang tadi.
- JBPM menerima panggilan kecemasan pada 3.16 petang dan menggerakkan enam anggota BBP Lundu serta sebuah kenderaan EMRS ke lokasi.
- Mangsa berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM di lokasi kejadian.
- Ibu melaporkan dia hilang selepas pasar; mangsa mempunyai sejarah sawan dan ditemukan orang awam dengan mulut berbuih.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.16 petang sebelum menggerakkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu bersama sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.
JBPM dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa yang berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati ibu mangsa menyedari anaknya tiada di rumah selepas pulang dari pasar pada sebelah pagi. Mangsa dilaporkan mempunyai sejarah penyakit sawan sejak berusia 17 tahun.
“Mangsa kemudiannya ditemukan orang awam dalam keadaan terbaring di tepi bot dengan mulut berbuih sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis,” menurut kenyataan itu.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.