fb fb fb fb fb

Syed Saddiq lepas dan bebas empat pertuduhan dana ARMADA

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika sidang media selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya membebas dan melepaskannya daripada daripada empat pertuduhan berkaitan dana ARMADA. \Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Jun– Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan dan melepaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada semua empat pertuduhan dihadapinya sejak lima tahun lalu.

Keputusan itu dicapai selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, serta denda RM10 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Panel hakim yang diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin berpandangan bahawa terdapat kesilapan dalam penilaian bukti oleh Mahkamah Tinggi, justeru memutuskan untuk mengetepikan sabitan serta hukuman terhadap beliau.

Dalam membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu, Hakim Noorin Badaruddin berkata perayu sepatutnya telah dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri semasa perbicaraan.

Ketika membacakan penghakimannya, beliau berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting bagi pertuduhan asas iaitu bersubahat dalam pecah amanah jenayah (CBT) dan penyelewengan secara tidak jujur.

Pada 22 julai 2021, Syed Saddiq disabitkan atas empat pertuduhan membabitkan kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

SITI NOORAIN ABDULLAH