Keselamatan tidak boleh dikompromi demi keuntungan

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 23 Ogos Industri kejuruteraan diingatkan supaya terus berintegriti dan tidak berkompromi dalam aspek keselamatan bagi mengejar keuntungan atau mengurangkan kos operasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keselamatan dan integriti tidak boleh dikompromi demi mengejar keuntungan atau mengurangkan kos operasi.
  • Kawalan kos mesti dilaksanakan, tetapi nyawa dan keselamatan manusia tidak boleh diberikan harga.
  • BEM Young Engineering Innovation Trophy dilancar sebagai platform kebangsaan untuk pelajar dan graduan tampilkan FYP dan IDP.
  • Pertandingan menguji idea. Peserta perlu terima kritikan, perbaiki dan hasilkan penyelesaian selamat, praktikal dan mampan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata dalam menjalankan operasi industri, kawalan kos sememangnya perlu dilaksanakan, namun tidak seharusnya mengetepikan aspek keselamatan.

“Kawalan kos dan keuntungan memang penting, tetapi jangan sekali-kali berkompromi dalam soal keselamatan dan integriti. Kos boleh dikira, tetapi nyawa dan keselamatan manusia tidak boleh diletakkan harga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kejuruteraan dan Penghargaan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) 2026, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik inisiatif LJM memperkenalkan Board of Engineers Malaysia (BEM) Young Engineering Innovation Trophy 2026 sebagai platform kebangsaan bagi pelajar dan graduan baharu mengetengahkan Projek Tahun Akhir (FYP) dan Projek Reka Bentuk Bersepadu (IDP) kepada industri.

“Pertandingan ini bukan sekadar mencari idea terbaik, tetapi memberi peluang kepada peserta membuktikan bahawa ilmu kejuruteraan boleh diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar.

“Mereka juga perlu belajar menerima kritikan kerana idea yang baik ialah idea yang mampu diuji, diperbaiki dan akhirnya menghasilkan penyelesaian yang selamat, praktikal dan mampan,” katanya.

Majlis turut menyaksikan penganugerahan trofi BEM Young Engineering Innovation buat julung kalinya melibatkan 29 peserta dalam tiga kategori iaitu Ijazah Kejuruteraan, Ijazah Teknologi Kejuruteraan dan Diploma Kejuruteraan.

Kemenangan diraih kumpulan dari Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengikut kategori masing-masing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.