30 maut, timbunan sampah runtuh di Guinea

 Foto AFP

CONAKRY, 24 Ogos – Seramai 30 orang maut selepas timbunan sampah di sebuah tapak pelupusan di ibu negara Guinea, Conakry, runtuh dan menghempap rumah berhampiran susulan hujan lebat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anggota penyelamat dan sumber manusia dikerahkan untuk mencari mangsa, menyelamatkan tertimbus serta mengeluarkan mayat
  • Kerajaan memastikan mangsa cedera menerima rawatan perubatan dan menyediakan bantuan kepada mereka yang terjejas
  • Penutupan tapak pelupusan dijadualkan, penduduk diarahkan berpindah, dan pembangkang menyifatkan kejadian sebagai tragedi mengejutkan

Menurut kenyataan kerajaan, enam lagi mangsa cedera parah dalam kejadian kira-kira pukul 2.00 pagi (waktu tempatan) di kawasan Dar-es-Salam, daerah Bbessia, Conakry.

“Sejumlah besar anggota penyelamat dan sumber manusia telah dikerahkan bagi mencari mangsa yang mungkin masih tertimbus, menyelamatkan mangsa serta mengeluarkan mayat”, menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Amadou Oury Bah turut melawat lokasi kejadian ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Kerajaan turut mengambil langkah bagi memastikan mangsa yang cedera menerima rawatan perubatan, selain menyediakan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat tragedi berkenaan.

Sebelum data rasmi mangsa yang maut diumumkan, ketua penduduk Lancine Sylla, berkata beliau bimbang jumlah mangsa yang maut adalah lebih tinggi.

“Kami telah mengeluarkan 18 mayat yang dibawa ke bilik mayat,” katanya kepada AFP.

Sementara itu, tokoh utama pembangkang Guinea dan bekas Perdana Menteri, Cellou Dalein Diallo, yang kini berada dalam buangan, menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi yang mengejutkan.

Beliau berkata kejadian berkenaan lebih membimbangkan kerana penutupan tapak pelupusan itu telah dijadualkan pada Ahad, 23 Ogos.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kerajaan mengarahkan penduduk di sekitar tapak berkenaan berpindah susulan kebimbangan berlaku runtuhan.

Guinea kini dipimpin Jeneral Mamadi Doumbouya yang mengambil alih kuasa menerusi rampasan kuasa pada 2021 sebelum dipilih sebagai presiden pada Disember 2025.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.