Piala Dunia: Speedy Tigers bangkit saat akhir, ikat Afrika Selatan 3-3

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan mengikat Afrika Selatan 3-3 dalam aksi terakhir klasifikasi Kumpulan H/Foto International Hockey Federation (FIH)

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Skuad hoki lelaki kebangsaan terpaksa akur dengan keputusan seri 3-3 menentang Afrika Selatan dalam aksi terakhir klasifikasi Kumpulan H Piala Dunia Hoki Lelaki FIH 2026 hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Azrai Aizad Abu Kamal meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-14 melalui jaringan padang.
  • Luke Wynford menyamakan kedudukan pada minit ke-17 untuk menjadikan skor 1-1.
  • Azrai Aizad kembali menjaringkan gol melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-22, bawa Malaysia 2-1.
  • Faizal Saari muncul penyelamat, menyumbat jaringan padang pada minit terakhir untuk gol penyamaan.

Keputusan dilakar di Arena Hoki Belfius, Belgium itu meletakkan Malaysia di tangga terakhir kumpulan sekali gus akan meneruskan aksi pada penentuan tempat ke-15 dan 16.

Terdahulu, Malaysia bermula garang apabila Azrai Aizad Abu Kamal meletakkan skuad negara di depan pada minit ke-14 menerusi jaringan padang.

Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Afrika Selatan menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi Luke Wynford pada minit ke-17 untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Azrai Aizad kemudian sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-22 bagi mengembalikan kelebihan Malaysia, 2-1.

Foto Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH)

Namun, Afrika Selatan terus memberi tekanan dan Nicholas Spooner menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi jaringan padang untuk menjadikan separuh masa pertama berakhir 2-2.

Memasuki babak kedua, Afrika Selatan mengambil kesempatan untuk berada di depan apabila Mustaphaa Cassiem meledak jaringan pada minit ke-43 sekali gus mengubah kedudukan kepada 3-2.

Malaysia tidak mengalah dan terus memburu gol penyamaan sehingga usaha itu membuahkan hasil pada minit terakhir perlawanan apabila Faizal Saari muncul penyelamat menyumbat jaringan padang pada minit ke-60.

Gol berkenaan memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata selepas tamat 60 minit permainan dengan kedudukan 3-3.– BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.