fb fb fb fb fb

Sindiket seludup rokok, arak RM2.4 juta tumpas

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar (tiga, kiri) menunjukkan barangan rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor / Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 24 September- Sindiket penyeludupan rokok dan arak tidak bercukai bernilai lebih RM2.4 juta berjaya ditumpaskan polis dalam Op Kontraban di Selangor dan Negeri Sembilan, antara 18 hingga 22 September lalu.

Enam premis diserbu dengan sembilan individu berusia 19 hingga 58 tahun ditahan, terdiri daripada enam warga tempatan dan tiga warga Myanmar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau termasuk samun serta kesalahan bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Dalam semua serbuan, polis berjaya merampas 4,720 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai lebih RM1 juta, 412 karton bir, 124 karton minuman keras serta beberapa kenderaan jenis Toyota.

Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM2.4 juta,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau memaklumkan, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan jalan tidak diwartakan untuk membawa masuk barangan dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

Kesemua suspek kini direman antara tiga hingga 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Datuk M. Kumar menegaskan, usaha membanteras aktiviti penyeludupan akan terus dipergiat.

Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terjamin.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN