
WARSAW, 24 Ogos – Gelombang haba dan kemarau berpanjangan menjejaskan sektor pertanian Eropah, dengan kerugian ekonomi dianggarkan mencecah kira-kira 180 bilion euro.
- Gelombang haba dan kemarau menurunkan hasil tanaman dan pengeluaran wain di banyak negara, contohnya Serbia, Perancis, Jerman dan Slovakia.
- Paras sungai jatuh kepada rekod rendah, seperti Vistula di Warsaw, dan suhu air naik mengurangkan oksigen mengancam ikan serta hidupan akuatik.
- EU lulus Strategi Ketahanan Air, sasaran kecekapan air 10% menjelang 2030 dan Bank Pelaburan Eropah sediakan 15 bilion euro sokongan.
Keadaan itu menyebabkan hasil tanaman merosot, pengeluaran wain terjejas dan sumber air semakin terhad. Kemarau turut menjejaskan kehidupan jutaan penduduk yang tinggal di sepanjang sungai utama.
Pengeluaran bijirin Jerman dijangka susut tujuh peratus berbanding tahun lalu, manakala Slovakia dijangka merekodkan penurunan 17 peratus.
Hasil jagung Serbia pula diunjurkan 30 hingga 40 peratus lebih rendah daripada paras biasa dan pengeluaran jagung Perancis dijangka susut 35 peratus.
Di Poland, paras Sungai Vistula di Warsaw susut ke paras terendah iaitu hanya 19 sentimeter pada pertengahan Julai, berbanding paras biasa sekitar 230 sentimeter.
Di Serbia, peningkatan suhu air Sungai Danube menyebabkan kandungan oksigen berkurangan, sekali gus mengancam ikan dan hidupan akuatik lain.
Industri wain turut terjejas apabila anggur masak lebih awal, dengan hasil sesetengah ladang di Perancis dijangka merosot sehingga lebih 30 peratus.
Sementara itu, Suruhanjaya Eropah menganggarkan 30 peratus penduduk dan 20 peratus kawasan daratan kini berdepan kekurangan air.
Bagi menangani krisis itu, Kesatuan Eropah (EU) pada Jun 2025 menerima pakai Strategi Ketahanan Air yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan, rawatan dan pengurusan sumber air.
Kesatuan Eropah (EU) menyasarkan peningkatan kecekapan penggunaan air sebanyak 10 peratus menjelang 2030, manakala Bank Pelaburan Eropah menyediakan 15 bilion euro bagi menyokong usaha menangani krisis air.-REUTERS