fb fb fb fb fb

Polis terima dua kes penipuan dalam talian, kerugian cecah RM565,200

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman / Foto Bernama

KUANTAN, 11 Februari – Polis Pahang menerima dua laporan berasingan berkaitan penipuan dalam talian melibatkan pelaburan tidak wujud dan penyamaran sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM565,200.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata kes pertama membabitkan seorang doktor wanita berusia 44 tahun yang terpedaya dengan tawaran pelaburan bitcoin melalui aplikasi Telegram.

“Mangsa telah memilih pakej ‘basic’ yang menjanjikan keuntungan RM15,000 dalam tempoh tiga jam. Sepanjang tempoh pelaburan, mangsa melakukan 22 transaksi ke 16 akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM433,700. Mangsa menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan,” katanya menerusi kenyataan.

Kes kedua pula melibatkan seorang warga emas berusia 61 tahun yang menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai kakitangan TNB.

Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kes kecurian elektrik dan kononnya terdapat kad bank yang dijumpai di rumahnya.

“Mangsa menafikan dakwaan tersebut namun diarahkan untuk membuat laporan polis dan memindahkan wang ke akaun tertentu sebagai jaminan. Mangsa kemudian melakukan 26 transaksi berjumlah RM131,500 menggunakan wang simpanan serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” jelas Yahaya.

Suspek turut menghantar surat waran tangkap palsu dan laporan juruaudit Bank Negara sebelum mangsa menyedari dirinya ditipu selepas menerima panggilan lain yang mencurigakan.

Sehubungan itu, Polis Pahang menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum menyertai sebarang pelaburan dalam talian dan segera berhubung dengan pihak berkuasa jika menerima panggilan yang mencurigakan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN