fb fb fb fb fb

Polis Selangor tangguh lulus permit konsert

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan / Foto RTM

SHAH ALAM, 3 Januari-Polis Selangor menangguhkan sementara kelulusan permit penganjuran konsert bagi mengelakkan insiden pengunjung yang maut akibat dadah berulang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata langkah serta merta itu diambil supaya mana-mana penganjur boleh mengambil kawalan keselamatan terutama dalam aktiviti penjualan dadah.

"DI masa hadapan sekiranya penganjuran sebarang konsert, pihak penganjur perlu memberi keyakinan untuk mereka boleh mengawal sebarang kemasukan dadah dalam konsert tersebut ataupun mana-mana konsert.

"Sekiranya elemen ini gagal jadi kita tidak boleh benarkan sebarang konsert diadakan yang boleh menyebabkan berakhir dengan kematian", katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

Sementara itu, pihak polis masih melakukan siasatan lanjut berhubung penjualan pil ekstasi di luar dan dalam kawasan penganjuran konsert ‘Pinkfish’

Ini susulan, kesemua mangsa didapati telah membeli dan menggunakan dadah berkenaan ketika konsert tersebut.

"Jadi, maklumat yang kita ada satu pil mereka jual RM50. Dia selalu jual pakej tiga pil RM100.

"Ia masih dalam siasatan pihak polis mengenal pasti mereka yang terlibat dalam penjualan pil ekstasi dalam konsert tersebut", katanya demikian.

Sehingga kini, terdapat enam laporan diterima daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Kuala Lumpur, berkaitan tujuh pesakit yang menunjukkan simptom sama.

Empat daripada mereka telah meninggal dunia.

Sebelum ini, media melaporkan polis sedang menyiasat punca kematian empat individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu itu setelah laporan polis berkaitan kematian mereka dibuat oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD