Pesawat alternatif digunakan bawa jemaah haji KT051 ke Jeddah esok

Foto BERNAMA

MEKAH, 5 Mei – Semua 278 jemaah haji KT051 yang mendarat di Lapangan Terbang Muscat, Oman berikutan isu teknikal dijadualkan berlepas ke Jeddah dengan pesawat alternatif pada 6 Mei.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penerbangan dijadual mendarat di Lapangan Terbang Raja Abdulaziz, Jeddah pada jam 5.10 pagi waktu Arab Saudi.
  • Semua jemaah diberikan makanan dan minuman lalu dibawa ke hotel untuk berehat menunggu waktu pelepasan.
  • Petugas AMAL by Malaysia Airlines ditugaskan di lapangan terbang untuk memantau keadaan dan memastikan kebajikan jemaah.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan memaklumkan, penerbangan itu dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada jam 5.10 pagi (waktu Arab Saudi), hari yang sama.

Menurut TH, semua 278 jemaah haji yang terlibat telah diberikan makanan dan minuman sebelum dibawa ke hotel penginapan untuk berehat sementara menunggu waktu pelepasan.

Petugas daripada pihak AMAL by Malaysia Airlines telah ditugaskan untuk berada di lapangan terbang berkenaan segera bagi memantau keadaan semasa dan memastikan kebajikan jemaah terjaga.

Terdahulu, TH memaklumkan penerbangan itu mengambil langkah berjaga-jaga mendarat di Lapangan Terbang Muscat, Oman berikutan isu teknikal pesawat.

Katanya, semua jemaah haji daripada KT051 berkenaan dalam keadaan selamat dan pihak keluarga tidak perlu risau dengan situasi tersebut.

KT051 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin pukul 2.06 petang waktu Malaysia.