fb fb fb fb fb

Polis Johor rampas barangan tiruan bernilai RM1.41 juta

Antara barangan yang dirampas di premis semalam/Foto polis Johor

JOHOR BAHRU, 11 Disember - Polis Johor merampas kira-kira 400 produk barangan tiruan menggunakan cap jenama terkenal bernilai lebih RM1.41 juta dalam Operasi Paten yang dijalankan di sebuah premis di Kompleks Austin Perdana, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, berkata barangan yang dirampas adalah dompet, pakaian, kasut, tali pinggang, dan topi yang dipercayai diimport dari negara luar.

Sindiket dipercayai menggunakan modus operandi dengan menjalankan urusan penjualan secara dalam talian sejak empat tahun lalu.

"Hasil pemeriksaan di hadapan lima individu termasuk penjaga dan pekerja premis mendapati terdapat pakaian, beg, kasut, topi, tali pinggang, dan dompet berjenama tiruan di simpan di premis tersebut.

"Setiap bag, baju dan dompet dijual dengan harga antara RM350 hingga RM500," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan telah dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk tindakan lanjut.

GRACE AISYAH KEDAYAN