fb fb fb fb fb

Polis cekup pelajar tingkatan empat, rakan bersama ganja 10kg

Polis merampas ganja seberat 10 kg dianggarkan bernilai RM31,000 bersama dua pelajar dalam kereta Kancil/FOTO Polis Kelantan

KOTA BHARU, 7 November - Seorang pelajar tingkatan empat dan rakannya ditahan bersama ganja seberat 10 kilogram (kg) dalam serbuan di tepi jalan Kampung Banggol Petaling, Pasir Mas pada Ahad lepas.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 16 dan 18 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Polis Daerah Pasir Mas semasa berada di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil pada 3.15 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan polis telah menjumpai ganja seberat 10 kg dianggarkan bernilai RM31,000 bersama mereka.

"Kedua-dua suspek direman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan berkait dengan rampasan tersebut.

“Semakan menjadi salah seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau yang berkait kes dadah.

“Saringan ujian air kencing yang dilakukan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis ketamin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait dadah atau jenayah boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di talian 09-7932222 atau balai-balai yang berdekatan,” ujarnya.

Katanya, polis akan terus berusaha memerangi gejala penyalahgunaan dadah dan berharap masyarakat dapat membantu dalam mengatasi masalah tersebut.

GRACE AISYAH KEDAYAN