KANGAR, 16 April- Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas tuduhan melakukan hantaran komunikasi jelik mengenai Raja Perlis di Facebook pada Mac lalu.
Tertuduh, Hasbullah Mohammad, 41, hanya mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.
Lelaki berasal dari Kedah itu didapati secara sedar membuat dan memulakan hantaran jelik melalui Facebook dengan nama profil "Muhammad Muhammad (ku tehh ku muhammad)" terhadap Raja Perlis dengan niat menyakitkan hati seseorang.
Tertuduh didapati melakukan perbuatan itu pada 6 Mac lalu sekitar pukul 3.26 pagi dan hanya disedari pengadu yang juga pelayar Facebook pada 7.00 pagi hari sama.
Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dijalankan oleh Pengarah Pendakwaan Perlis, Muhamad Asyraf Md Kamal dan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi, manakala tertuduh diwakili peguam Syazwan Shaidan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah menetapkan 15 Mei hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.