KEMAMAN, 9 Januari-Seorang peniaga kedai barangan mainan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kemaman atas dua pertuduhan memiliki 148 laras senjata tiruan, Ahad lalu.
Tertuduh, Wan Muhammad Faezyl Wan Mansor, 31 tahun membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.
Tertuduh didakwa memiliki sembilan laras senjata palsu tiruan yang disimpan di premis perniagaannya di Bandar Baru Kijal, di sini.
Kesalahan tersebut dilakukan tertuduh pada 5 Januari lalu kira-kira pukul 2.30 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 iaitu memiliki dan mengimport senjata tiruan.
Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum hingga satu tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa mengikut seksyen sama kerana didapati memiliki 139 laras senjata tiruan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Januari depan sebagai tarikh jatuh hukum dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.