fb fb fb fb fb

Lelaki lepas tembakan ke arah polis, maut

Foto hiasan

BUKIT MERTAJAM, 11 Mac- Seorang lelaki bersenjata maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Jalan Gajah Mati, Machang Bubok di sini.

Dalam kejadian pukul 2.20 pagi itu, lelaki berkenaan enggan berhenti untuk pemeriksaan polis sebaliknya melepaskan beberapa das tembakan kepada anggota bertugas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan semasa rondaan polis mendapati lelaki itu menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

"Pasukan polis menghampiri motosikal tersebut dengan menjerit memperkenalkan diri sebagai polis dan mengarahkan supaya berhenti bagi pemeriksaan dilakukan.

"Suspek enggan memberhentikan motosikal dan terus memecut laju. Pasukan polis bertindak mengejar motosikal tersebut lalu memintas motosikal terbabit, secara tiba-tiba lelaki tersebut bertindak melepaskan tembakan beberapa kali ke arah pasukan polis," menurut kenyataan itu

Namun pasukan polis berkenaan membalas beberapa das tembakan ke arah lelaki terbabit hingga menyebabkan suspek rebah.

Hasil pemeriksaan, polis menemukan sepucuk pistol jenis Glock dan sejumlah dadah jenis heroin.

Kes disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI