fb fb fb fb fb

Lelaki Bangladesh ditahan, dalangi sindiket pemalsuan pasport

Foto: JIM

PUTRAJAYA, 5 Julai - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan pasport didalangi warga Bangladesh yang menjadikan sebuah hotel sebagai markas di Chow Kit, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata dalam operasi khas bermula 8.30 pagi itu, suspek berusia 24 tahun itu ditahan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Hasil soal siasat, pasukan operasi diatur gerak ke sebuah bilik hotel yang dijadikan markas aktiviti suspek.

“Pasukan operasi turut merampas peralatan untuk pemalsuan pasport antaranya sebuah komputer riba, sebuah mesin pencetak, 37 naskhah pasport Bangladesh, dua naskhah pasport India, enam naskhah pasport Indonesia yang kesemuanya disyaki palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan semakan awal mendapati suspek memiliki Pas Pelajar yang masih sah laku bertujuan mengaburi pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen.

“Modus operandi sindiket ini adalah bergerak secara individu dengan menawarkan perkhidmatan menyediakan pasport palsu kepada warga asing dari Bangladesh, Nepal, India dan Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan.

“Sindiket ini menggunakan pasport tersebut untuk mendapatkan dokumen Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema),” katanya.

Menurut Ruslin, bayaran sebanyak RM100 hingga RM150 dikenakan untuk setiap pasport dan suspek dipercayai menghasilkan 50 hingga 100 naskhah pasport sehari.

“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak tiga bulan lepas,” katanya.

Beliau berkata suspek kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Selain itu, seorang lelaki tempatan diberikan notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan kes tersebut.

ZEHRA BINTI ZAMBRI