fb fb fb fb fb

Dua lelaki serang Safiq Rahim, kereta diketuk dengan tukul besi

Dua lelaki menaiki motosikal memecahkan cermin belakang kenderaan Safiq Rahim menggunakan tukul besi/Foto IG Safiq Rahim

KUALA LUMPUR, 8 Mei - Pemain bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim dilaporkan diserang dua individu tidak dikenali di Jalan Seri Gelam menghala Pantai Lido, Johor Bahru malam tadi.

Berdasarkan laporan polis yang dimuat naik di akaun Instagram, Safiq berkata dalam kejadian kira-kira 10 malam tadi dia dihampiri dua lelaki yang menaiki motosikal kemudian memecahkan cermin belakang kenderaannya menggunakan tukul besi.

“Ketukan itu menyebabkan saya terkejut dan memberhentikan kereta. Kemudian dua lelaki tersebut berhenti di hadapan sambil menunjukkan tukul ke arah saya.

“Kerana takut, saya mengundurkan kereta sebelum dua lelaki berkenaan beredar dari lokasi kejadian.

“Ketukan tersebut menyebabkan cermin bahagian belakang kereta saya pecah,” kongsinya.

Pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT) berusia 37 tahun itu turut menyuarakan kebimbangan susulan beberapa siri ancaman terhadap pemain bola sepak tempatan baru-baru ini.

“Tidak sangka saya pula kena serang berdekatan Pusat Latihan JDT. Zaman kami kena berjaga-jaga," ujarnya lagi.

Sebelum ini, RTM melaporkan pemain Terengganu FC (TFC), Muhammad Akhyar Rashid, 25, diserang dua lelaki di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu pada malam Khamis.

Susulan insiden itu, Akhyar cedera di kepala dan kaki selepas diserang ketika turun dari kereta sebaik sahaja pulang menjalani latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) kira-kira 8.30 malam.

Terbaharu, pemain bola Selangor FC, Faisal Halim pula disahkan melecur tahap empat di sekitar tubuhnya yang terkena simbahan asid, di pusat beli-belah Petaling Jaya, pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN:

 

 

 

 

 

GRACE AISYAH KEDAYAN