fb fb fb fb fb

Polis siasat kes Faisal Halim disimbah asid

PDRM (Laporan Berita RTM)

PETALING JAYA, 5 Mei- Polis telah membuka siasatan terhadap kes serangan cecair dipercayai asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim di sebuah pusat beli belah terkemuka di Kota Damansara di sini, petang tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada orang awam menerusi panggilan Malaysian Emergency Response Service 999 (MERS 999) pada pukul 5.51 petang.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah.

"(Ia) memperuntukan hukuman hendaklah dengan penjara yang boleh sampai 20 tahun dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Faisal, 26, yang kini dirawat di sebuah hospital swasta di sini berada dalam keadaan stabil.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222," katanya.

Terdahulu, beberapa gambar yang menunjukkan kesan kecederaan pada anggota badan pemain sayap pasukan Selangor FC itu turut tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN
Faisal Halim dipercayai diserang dengan asid
Serangan asid: Faisal Halim stabil, melecur tahap dua - Exco
'PDRM ambil tindakan segera individu serang Faisal' - Hannah

SITI AISHAH MD ISA