
DUNGUN, 24 Mac – Seorang ibu dan dua anaknya maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jerangau, Dungun, Terengganu petang semalam.
- Kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.10 petang di Kilometer 59 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Perkampungan Felda Jerangau.
- Pemandu Nurul Hafizah Shaary, 39, dan dua anaknya Muhammad Redzuan Arash, 13, serta Nur Radya Athalia, 4, disahkan meninggal dunia.
- Dua lagi anak, Nur Rakhis Aral, 9, dan Nur Raesha Amanda, 14, alami kecederaan ringan dan dirawat di Klinik Kesihatan Jerangau.
- Perodua Aruz dipercayai hilang kawalan dan merempuh paip air serta tiang elektrik; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.10 petang di Kilometer 59 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Perkampungan Felda Jerangau.
Mangsa yang maut ialah pemandu SUV, Nurul Hafizah Shaary, 39, serta dua anaknya, Muhammad Redzuan Arash Mohamad Redzuan, 13, dan Nur Radya Athalia Mohamad Redzuan, empat tahun.
Dua lagi anak mangsa, Nur Rakhis Aral Mohamed Redzuan, sembilan tahun, dan Nur Raesha Amanda Mohamed Redzuan, 14, mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Klinik Kesihatan Jerangau.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila SUV jenis Perodua Aruz dipandu mangsa dalam perjalanan dari Jerangau menuju ke Pekan Ajil.
Beliau berkata setibanya di lokasi kejadian, SUV itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh paip air serta tiang elektrik di sebelah kanan jalan.
Akibat kemalangan itu, Nurul Hafizah dan Muhammad Redzuan Arash meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Nur Radya Athalia meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Jerangau.
Kesemua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
Dua mangsa yang cedera pula dirujuk ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.