Piala Dunia: Skuad sepak takraw fokus perkemas taktikal, kekuatan mental

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Mac– Skuad sepak takraw negara kini berdepan cabaran sebenar menjelang Piala Dunia 2026, dengan tempoh persiapan berbaki kurang dua bulan yang menuntut peningkatan intensiti latihan dan kekuatan mental pemain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus kini pada memperkemas taktikal dan keserasian pasukan selepas fasa latihan mencabar sepanjang Ramadan.
  • Program latihan intensif termasuk sesi gimnasium dan larian 40 minit untuk tingkatkan kecergasan pemain.
  • Kehadiran pemain baharu memberi dimensi berbeza, persaingan sihat dan perkongsian pengalaman kepada skuad.
  • Misi pertahankan kejuaraan sukar dengan kebangkitan pencabar seperti Thailand; skuad sasar prestasi lebih cemerlang di Stadium Titiwangsa.

Tekong utama negara, Syahir Rosdi mengakui laluan ke kejohanan itu bukan mudah terutama dalam usaha mengekalkan status sebagai antara pasukan terbaik dunia.

Menurutnya selepas melalui fasa latihan mencabar sepanjang Ramadan fokus kini beralih kepada memperkemas taktikal dan keserasian pasukan bagi menghadapi saingan lebih sengit.

“Persiapan kami ke Piala Dunia kali ini agak mencabar. Namun, berkat bulan Ramadan, kami tetap menjalani latihan seperti biasa pada waktu petang.”

“Mahu atau tidak, kami harus bertahan kerana program latihan agak intensif merangkumi sesi gimnasium dan larian selama 40 minit,” kata Syahir.

Beliau turut menegaskan kehadiran pemain baharu memberi dimensi berbeza dalam pasukan sekali gus meningkatkan persaingan sihat dalam skuad kebangsaan.

“Setakat ini, kehadiran pemain baharu memberikan impak positif kepada pasukan. Kami memperoleh input baharu daripada persaingan sihat ini manakala mereka pula mendapat manfaat daripada perkongsian pengalaman kami.”

“Melalui corak permainan yang berbeza ini, kami dapat membina kekuatan sebagai satu pasukan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Syahir mengakui misi mempertahankan kejuaraan bukan tugas mudah, apatah lagi dengan kebangkitan pencabar utama seperti Thailand yang dilihat kembali memperkukuh pasukan.

“Alhamdulillah, setakat ini kami berjaya mencapai sasaran awal secara berperingkat. Memandangkan Thailand kini sedang berusaha keras untuk mengembalikan momentum mereka, kami sebagai pemain negara perlu bekerja lebih keras untuk mengekalkan prestasi dan memberikan aksi yang lebih cemerlang,” jelasnya.

Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dijadual berlangsung dari 12 hingga 24 Mei ini di Stadium Titiwangsa, dengan skuad negara dijangka turun dengan sasaran tinggi untuk terus mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.