fb fb fb fb fb

Polis Terengganu tubuh pasukan khas siasat kes samun Akhyar

Azli Mohd Noor (Laporan Berita RTM)

KUALA  TERENGGANU, 5 Mei- Polis Terengganu menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes samun melibatkan pemain Terengganu FC (TFC), Muhammad Akhyar Rashid pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, tiga keterangan telah diambil iaitu daripada Akhyar, kakaknya dan seorang penghantar makanan yang membantu mangsa.

Setakat ini, motif kejadian menjurus terhadap samun yang mendatangkan kecederaan.

"Berdasarkan keterangan daripada mangsa ada melihat sekali imbas sebuah kereta dipercayai Honda City namun warna kereta dan nombor pendaftaran kenderaan tidak dikenal pasti disebabkan keadaan gelap ketika itu.

"Penyerang dipercayai lebih daripada dua orang. Mangsa melihat dua suspek keluar dari belakang kenderaan dan seorang dari bahagian depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dekat sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Azli memaklumkan pasukan khas sedang giat mencari petunjuk termasuk menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan-kawan yang mungkin dilalui suspek.

Setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan.

"Siasatan masih diteruskan. Jadi saya minta orang ramai tidak membuat persepsi dan spekulasi tentang penglibatan mangsa dalam lain-lain kes," jelasnya.

Khamis lalu, Akhyar, 25, mengalami kerugian lebih RM4,800 setelah disamun dua lelaki bersenjata dalam kejadian di hadapan sebuah kondominium di sini pada malam kejadian.

Mangsa mendakwa disamun dua lelaki berpakaian gelap, memakai topeng muka serta membawa senjata besi boleh laras.

Akibat kejadian itu, mangsa yang dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menerima enam jahitan iaitu empat jahitan pada bahagian atas kepala dan dua jahitan di atas tapak kaki kiri, selain sakit pada anggota badan.

ARTIKEL BERKAITAN
Akhyar cedera dipukul, disamun di Terengganu

SITI AISHAH MD ISA