fb fb fb fb fb

KPDN Perak rampas lebih 5,000 liter minyak diesel bersubsidi

Lori bertutup kanvas digunakan sindiket ini bagi membuat pembelian diesel secara berulang di stesen minyak sekitar Segari dan Manjung.

TAIPING, 5 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) cawangan Taiping berjaya merampas lebih 5,000 liter minyak diesel bersubsidi yang disembunyikan di sebuah ladang sawit, kawasan Trong. 

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail memaklumkan operasi dijalankan sepasukan anggota menerusi Ops Tiris 3.0.

Beliau berkata, lori bertutup kanvas digunakan sindiket ini bagi membuat pembelian diesel secara berulang di stesen minyak sekitar Segari dan Manjung.

"Bahan api tersebut kemudian disimpan di satu premis tidak berlesen dalam ladang sawit dan dipercayai akan dijual kepada pengguna industri dengan keuntungan berlipat kali ganda.

"Operasi tersebut berjaya menahan dua orang lelaki tempatan yang disyaki pemandu lori dan majikan untuk siasatan lanjut," katanya.

Tambah Kamalludin, pihaknya turut menyita enam buah tangki, peralatan pam penyedut, kamera litar tertutup (CCTV) dan sebuah lori dengan nilai keseluruhan rampasan hampir RM39,000.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

ZEHRA BINTI ZAMBRI