fb fb fb fb fb

Kes pukul: Tiga lelaki ditahan, suspek lain diburu - Polis Kluang

Tangkap layar video tular di media sosial

Kluang, 5 Mei-  Polis menahan tiga lelaki dipercayai melarikan dan mencederakan seorang mangsa lelaki berusia 30-an menggunakan senjata tumpul di Taman Lian Seng di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada orang awam pada pukul 9.30 malam hari sama.

"Kesemua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu ditahan di Jalan Ladang Nenas Simpang Renggam di sini dan sekitar kawasan Iskandar Puteri pada 1.15 pagi, semalam.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipukul menggunakan senjata tumpul seperti besi dan alatan bengkel motosikal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami luka seluruh badan termasuk retak pada dagu dan pergelangan tangan sedang dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

"Seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala kesemuanya negatif terhadap dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambah Bahrin, pihaknya sedang mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai turut terbabit kejadian itu.

0505 GADUH BERKUMPULAN INSHOT 2
Tiga suspek yang ditahan polis untuk sisatan lanjut

SITI AISHAH MD ISA