fb fb fb fb fb

'PDRM ambil tindakan segera individu serang Faisal' - Hannah

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa polis menyegerakan tindakan terhadap individu yang menyerang pemain kebangsaan, Faisal Halim dengan asid

KUALA LUMPUR, 5 Mei - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa polis menyegerakan tindakan terhadap individu yang menyerang pemain kebangsaan, Faisal Halim dengan asid dalam kejadian petang tadi, di Petaling Jaya.

Hannah menerusi hantaran di platform X turut mengecam serangan itu yang disifatkan sebagai satu keganasan kepada atlet.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya keganasan terhadap atlet.

"Tiada keganasan dalam sukan! Saya meminta @PDRMsia untuk segera mengambil tindakan terhadap pelaku," katanya.

Baru-baru ini, peminat industri bola tanah air dikejutkan dengan berita pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu pada malam Khamis.

Susulan insiden itu, Akhyar 25 tahun cedera di kepala dan kaki selepas diserang ketika turun dari kereta sebaik sahaja pulang menjalani latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) kira-kira 8.30 malam.

Dalam pada itu, polis dalam kenyataannya mengesahkan pemain yang dinobat sebagai Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu cedera disimbah cecair dipercayai asid.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata Faisal dilaporkan kini berada dalam keadaan stabil dengan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.

Terdahulu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Najwan Halimi mengesahkan Faisal mengalami luka melecur tahap dua di beberapa anggota badan sekitar leher, bahu, lengan dan dada.

ARTIKEL BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN