fb fb fb fb fb

Pelaku serang kereta Safiq Rahim sedang dikesan - Polis Johor

PDRM (Laporan Berita RTM)

JOHOR BAHRU, 8 Mei- Polis Johor mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung insiden pecah cermin kereta milik pemain bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan suspek yang terlibat dan motif kejadian.

Raub berkata, kereta dipandu Safiq Rahim, 36, telah dipecahkan oleh dua individu tidak dikenali menggunakan alat dipercayai tukul besi, sekitar pukul 10.05 malam.

Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun cermin kereta bahagian belakangnya rosak teruk.

"Suspek turut menunjukkan tukul besi ke arah mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya.

"Kenderaan mangsa didapati tidak dipasang 'dashcam'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih lima tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya.
 
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh hubungi talian Hotline IPD Johor Bahru Selatan (07-2182323) atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Fahmi Muhammad Rasyid Rabuan (012-6648916)," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards memaklumkan kelab berkenaan telah meningkatkan tahap keselamatan para pemain, selain menasihatkan pemain supaya lebih berhati-hati.

Kejadian menimpa Safiq Rahim merupakan insiden ketiga membabitkan pemain bola sepak tanah air selepas Akhyar Rasid dan Faisal Halim yang cedera diserang minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN
Dua lelaki serang Safiq Rahim, kereta diketuk dengan tukul besi
Akhyar cedera dipukul, disamun di Terengganu
Polis Terengganu tubuh pasukan khas siasat kes samun Akhyar

Polis siasat kes Faisal Halim disimbah asid
Faisal Halim dipantau di ICU, alami kelecuran tahap empat

SITI AISHAH MD ISA