fb fb fb fb fb

Faisal Halim dipercayai diserang dengan asid

Pemain sayap pasukan Selangor FC, Faisal Halim dipercayai di serang dengan asid

PETALING JAYA, 5 Mei - Pemain sayap pasukan Selangor FC, Faisal Halim dipercayai diserang oleh individu yang tidak dikenali dengan asid di sebuah pusat beli belah di Damansara di sini hari ini.

Berita mengejutkan itu dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom menerusi hantaran di laman X beliau.

Serangan itu menyebabkan Faisal mengalami kecederaan pada badan, tangan dan muka.

Susulan kejadian itu, Faisal dibawa ke sebuah hospital berdekatan untuk rawatan lanjut. 

Difahamkan, pengamal media juga sedang menunggu di hospital bagi mengikuti perkembangan terkini pemain bola sepak itu.

Gambar Faisal yang kelihatan sugul dan terkejut dengan kejadian turut ditularkan di media sosial.

Pihak polis akan mengeluarkan kenyataan berkaitan serangan terbaharu menimpa pemain bola sepak negara itu.

Baru-baru ini, peminat industri bola tanah air dikejutkan dengan berita pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu pada malam Khamis.

Susulan insiden itu, Akhyar 25 tahun cedera di kepala dan kaki selepas diserang ketika turun dari kereta sebaik sahaja pulang menjalani latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) kira-kira 8.30 malam.

GRACE AISYAH KEDAYAN