KUALA LUMPUR, 2 Januari - Jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou mengakui faktor usia menjadi cabaran utama dalam persediaannya menghadapi Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di Korat, Thailand khususnya dari aspek pemulihan fizikal yang mengambil masa lebih lama berbanding sebelum ini.
Liek Hou ,38, berkata tempoh pemulihan yang perlahan selepas setiap perlawanan boleh menjejaskan prestasinya, terutama apabila beraksi dalam kejohanan yang padat dengan perlawanan harian.
"Kalau umur seperti saya ini sudah cedera, memang susah untuk pulih. Sebab itu elak kecederaan sangat penting. Sekarang pun saya sudah rasa, kalau kurang tidur atau kurang rehat, prestasi memang akan terjejas," katanya ketika ditemui semasa lawatan CDM ke Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik.
Menurutnya, tempoh persediaan yang berbaki kira-kira dua minggu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan tahap kecergasan berada pada tahap optimum menjelang temasya itu yang disifatkan sebagai sasaran utama pertamanya tahun ini.
"Ini sasaran pertama saya untuk menang di Sukan Para ASEAN. Saya harap latihan berjalan lancar dan yang paling penting, tiada kecederaan," tambahnya.
Bagaimanapun, pengalaman luas yang dimiliki akan digunakan sebagai kelebihan untuk berdepan pemain muda, meskipun kebimbangan terhadap keletihan dan pemulihan kekal menjadi fokus utama.
"Bukan gentar, cuma saya perlu guna strategi berbeza. Apa yang saya risau ialah pemulihan selepas setiap perlawanan, kerana ia boleh menjejaskan aksi seterusnya," katanya.
Dalam pada itu, Liek Hou juga akui perubahan pasangan beregu turut memberi kesan terhadap persiapannya.
Beliau sebelum ini serasi bergandingan bersama Mohd Fareez Anuar, namun kini dipasangkan dengan Faris Ahmad Azri, sekali gus memerlukan penyesuaian semula.
"Memang terkesan sebab kami sudah sangat serasi sebelum ini. Sekarang saya kena berpasangan dengan Faris Azri dan kami baru sahaja digandingkan. Saya rasa saya perlu bekerja lebih keras," jelasnya.
Cheah Liek Hou menyasarkan dua pingat emas dalam acara perseorangan dan beregu pada temasya yang akan berlangsung dari 20 hingga 26 Januari di Korat, Thailand.
