KUALA LUMPUR, 2 Januari - Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran 55 pingat emas pada Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di Korat, Thailand sebagai sebahagian usaha meningkatkan pencapaian berbanding edisi terdahulu.
Ketua Kontinjen (CDM), Mohd Zarrawi Ravi Abdullah berkata sasaran itu disifatkan realistik memandangkan Malaysia meraih 50 pingat emas pada edisi terdahulu.
"Kita tidak boleh berkompromi soal peningkatan. Kalau sebelum ini 50 emas, maka lebih 50 adalah sasaran yang logik. Oleh itu, kita letakkan sasaran 55 emas," katanya ketika ditemui semasa lawatan CDM ke Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik.
Menurut Zarrawi, persiapan kontinjen negara kini berada pada tahap terbaik dengan semangat atlet berada pada tahap tinggi menjelang temasya yang berlangsung dari 20 hingga 26 Januari ini.
"Saya mencabar atlet supaya memperbaiki pencapaian masing-masing. Kalau dulu gangsa, kali ini perak. Kalau perak, lebih baik emas. Sasaran utama ialah baiki personal best (PB) dan capai pingat terbaik," katanya.
Beliau menjelaskan, kira-kira dua pertiga daripada sasaran emas dijangka disumbangkan oleh sukan renang dan olahraga, manakala satu pertiga lagi diharap datang daripada sukan lain yang menunjukkan peningkatan termasuk berbasikal.
Secara keseluruhan, Malaysia menyasarkan 181 pingat keseluruhan dengan 55 emas.
Kontijen para negara dijadualkan berlepas pada 15 Januari ini ke Korat, Thailand.
