LABUAN, 7 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menyita 1,134 unit coklat melibatkan dua premis berasingan.
Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain dalam satu kenyataan berkata, nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM23,704.
"KPDN Labuan mengesan dua buah premis terdiri kedai serbaneka dan kedai bebas cukai tersebut menjual produk makanan coklat yang menggunakan ungkapan 'No Palm Oil' dalam pemeriksaan di premis-premis kawasan bandar," katanya menerusi kenyataan itu.
Kes disiasat bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit Dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 yang dikuatkuasakan bermula 15 Mac 2022.
Jika sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun.
Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap peruncit, pemborong dan pengimport yang menjual, mengedar atau mengimport produk-produk yang memboikot atau mendiskriminasi komoditi utama negara.