fb fb fb fb fb

Tiga termasuk dua warga Bangladesh direman bantu siasatan kes seleweng diesel

Suspek diiringi pegawai KPDN ketika tiba di mahkamah bagi mendapatkan perintah reman

AYER KEROH, 7 Mei- Tiga lelaki termasuk dua penjaga stor warga Bangladesh direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Majistret Khairunnisak Hassni membenarkan perintah reman terhadap suspek berusia 28 hingga 34 tahun itu selepas dipohon pegawai penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.

Kesemua suspek ditahan 7 malam tadi selepas pihak KPDN menyerbu stor penyimpanan diesel haram di Kawasan Perindustrian Krubong.

Semua suspek tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh dengan diiringi pegawai penguatkuasa KPDN dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Terdahulu, KPDN Melaka berjaya mematahkan cubaan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dari sebuah stor haram di Kawasan Perindustrian Krubong, malam tadi.
 
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, keseluruhan nilai rampasan yang dibuat berjumlah RM256,000 termasuk diesel bernilai lebih RM75,000, lori tangki, peralatan hos dan salur minyak serta tiga tangki skid berisi 8,000 liter diesel yang disyaki cuba dibawa ke sebuah negeri di Pantai Timur.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE