fb fb fb fb fb

Beri keutamaan kesihatan Faisal Halim - Hannah

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

CAMERON HIGHLANDS, 6 Mei - Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, memberi keutamaan ketika ini bagi memastikan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim mendapatkan rawatan yang sebaiknya.

Perkara itu susulan kejadian simbah asid terhadap Faisal Halim di sebuah pasar raya di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Katanya, pihak polis telah melakukan tangkapan terhadap dan siasatan sedang dijalankan.

"Saya telah berurusan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan beliau telah memaklumkan bahawa tangkapan telah dilakukan dan siasatan masih berjalan, jadi kita tunggu dulu keutamaan sekarang adalah untuk Faisal dapatkan rawatan di hospital dan tunggu siasatan.

"Institut Sukan Negara (ISN) pasti akan bantu tetapi seperti yang saya maklumkan keutamaan sekarang adalah rawatan di hospital dulu," kata Hannah kepada pemberita dalam sesi lawatan tapak projek menaiki taraf padang awam Majlis Daerah Cameron Highlands Tanah Rata, di sini.

Semalam Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan seorang lelaki diberkas untuk siasatan di Pandan Indah, Ampang.

TETITIA YUSOFF