
GEORGETOWN, 17 Mac – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyasarkan tajaan sebanyak RM100,000 sebulan menerusi program Ibu Tunggal Bersama Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK).
- Dana akan digunakan untuk membeli produk hasil ibu tunggal sebelum diagihkan kepada golongan memerlukan.
- Pendekatan meningkatkan pendapatan ibu tunggal dan memberi manfaat terus kepada masyarakat setempat.
- Sekitar 40 JPWK digerakkan untuk mencari penaja, dengan sasaran minimum sumbangan RM2,500 setiap jawatankuasa.
- Program dilaksanakan sempena Sambutan Hari Wanita Negeri 2026, fokus pada kuih raya dan biskut yang tinggi permintaan.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan hal ehwal bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, dana tersebut akan digunakan untuk membeli produk hasil keluaran ibu tunggal sebelum diagihkan kepada golongan memerlukan.
Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan ibu tunggal, malah memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
Tambahnya, terdapat kira-kira 40 JPWK di seluruh negeri yang digerakkan untuk mencari penaja, sama ada dalam kalangan usahawan, syarikat mahupun individu, dengan sasaran minimum sumbangan RM2,500 bagi setiap jawatankuasa.
“Setiap JPWK akan mencari penaja yang boleh menyumbang sekurang-kurangnya RM2,500, sama ada daripada usahawan, syarikat atau individu.
“Ramai yang berminat untuk menyumbang, khususnya bagi produk seperti kuih raya memandangkan sambutan Hari Raya semakin hampir,” katanya demikian dalam sesi temu bual bersama RTM di Jalan Burmah, di sini.
Program tersebut dilaksanakan bersempena sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026, dengan fokus kepada penghasilan produk seperti kuih raya dan biskut yang mendapat permintaan tinggi menjelang musim perayaan.