
SAUDARA PENGARANG
- Manfaatkan sambutan perayaan, seperti rumah terbuka, untuk merapatkan silaturahim dan meredakan ketegangan kaum.
- Pihak media dan kerajaan perlu mempromosi naratif positif, jadikan perayaan platform perpaduan serta elak polarisasi sosial.
- Pameran budaya, makanan dan adat bantu fahami antara kaum, kurangkan salah faham serta bentuk generasi muda berjiwa muhibah.
Negara kita kaya dengan pelbagai sambutan perayaan masyarakat berbilang kaum dan agama yang diraikan secara bersama sepanjang tahun. Justeru kepelbagaian perayaan sewajarnya diangkat sebagai alat dan jambatan terbaik untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat.
Antara perayaan besar yang disambut secara meriah di negara kita ialah Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Hari Natal.
Hal ini dilihat sangat signifikan kerana anggota masyarakat lazimnya kelihatan mampu mengetepikan segala pertelingkahan dan perbezaan pendapat mahu pun ideologi politik ketika sesuatu musim perayaan.
Justeru Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meredakan suhu perkauman yang dilihat sedikit memuncak pada ketika ini.
Kita perlu mententeramkan keadaan dan meleraikan ketegangan yang ada melalui budaya saling kunjung mengunjungi ketika musim perayaan besar ini. Dalam konteks ini konsep rumah terbuka yang cukup popular dalam kalangan anggota masyarakat perlu terus disemarakkan, sama ada di desa mahupun bandar.
Ini supaya segenap lapisan anggota masyarakat dapat mengambil peluang ini untuk merapatkan tali silaturahim.
Ironinya, sambutan perayaan perlu dijadikan medan di mana masyarakat berbilang bangsa berpeluang untuk berjumpa, beramah mesra dan saling mengenali di antara satu sama lain.
Proses berjumpa, bertanya khabar dan berkenalan boleh mengeratkan tali silaturahim di antara rakyat. Ini selari dengan konsep tak kenal maka tak cinta. Ringkasnya, sambutan rumah terbuka akan membuka dan memperkasa ruang interaksi sosial masyarakat majmuk di negara ini.
Jadi diharapkan umat Islam akan mengambil peluang terbaik ini untuk membuat rumah terbuka dan menjemput seramai mungkin rakan-rakan dari kaum dan agama lain untuk datang beraya bersama sebagai sebuah keluarga besar Malaysia.
Walaupun keadaan ekonomi dan kewangan sedikit mencabar pada ketika ini namun diharap ia tidak menghalang umat Islam membuat rumah terbuka mengikut kemampuan masing-masing.
Selain itu, pihak berkuasa dan anggota masyarakat juga perlu mengambil peluang ini untuk mempromosikan nilai, amalan dan budaya positif orang Melayu dan penganut agama Islam ketika menyambut Aidilfitri agar masyarakat bukan Islam dapat memahami dengan lebih jelas.
Pendekatan seperti ini dikira penting kerana berpeluang untuk memadamkan segala jenis persepsi negatif, prasangka buruk dan salah faham yang wujud atau tercetus akibat satu dua insiden yang telah berlaku di luar kawalan semua.
Jujurnya pelbagai masalah perkauman yang timbul boleh dikatakan berlaku disebabkan isu salah faham sesama kita khususnya dalam konteks memahami budaya dan amalan penganut agama dan kaum lain, dan ini ditambah pula dengan tindakan segelintir anggota masyarakat yang sengaja mengambil kesempatan dan membuat pelbagai provokasi.
Justeru perayaan perlu juga jadi platform untuk memahami budaya dan adat kaum lain dengan lebih jelas dan terperinci agar kita lebih berhati-hati dan tidak menyentuh isu yang sensitif serta elak tindakan yang boleh mengguris hati orang lain.
Secara umumnya, jenis makanan setiap kaum, pakaian tradisional, muzik dan adat resam perayaan jika ditonjolkan dengan baik boleh membuka ruang untuk anggota masyarakat mengenali budaya kaum lain.
Lazimnya, tahap kefahaman yang tinggi dan jelas terhadap budaya dan adat orang lain akan membantu mengurangkan masalah salah faham serta stereotaip antara kaum.
Malah pendedahan dan advokasi seperti ini sangat penting terutamanya kepada generasi muda untuk memahami dan mempertahankan warisan perpaduan serta kepelbagaian masyarakat majmuk di negara ini.
Selain itu, pihak media juga boleh bantu memainkan peranan besar dalam menjadikan sambutan perayaan sebagai alat terbaik untuk perkukuh perpaduan nasional.
Antara peranan signifikan pihak media ialah membantu membina naratif positif bahawa setiap perayaan yang disambut adalah milik bersama segenap lapisan rakyat Malaysia.
Liputan berita dan momen positif tentang sambutan perayaan membabitkan pelbagai kaum boleh memperkukuh rasa kebersamaan di peringkat nasional. Tuntasnya, media boleh menggunakan pendekatan komunikasi yang strategik agar dapat menonjolkan nilai toleransi dan saling menghormati dalam kalangan rakyat.
Peranan media ini dilihat penting kerana masalah polarisasi sosial atau sentimen perkauman yang sedang marak dan membimbangkan di media sosial pada ketika ini boleh menjejaskan semangat muhibah yang terjalin selama ini.
Oleh itu media perlu bantu meningkatkan tahap kesedaran rakyat tentang kepentingan menjaga, memelihara dan mempertahankan perpaduan yang ada melalui aktiviti advokasi yang sewajarnya.
Pada masa sama pihak kerajaan juga perlu terus memainkan peranan dengan menjadikan perayaan sebagai agenda perpaduan di peringkat nasional. Setiap perayaan yang disambut perlu dilihat bukan sekadar acara budaya atau adat semata-mata tetapi juga sebagai platform untuk memperkukuh identiti kebangsaan.
Ironinya, penglibatan semua lapisan masyarakat menjadikan perayaan simbol kebersamaan rakyat Malaysia dan akhirnya apa yang diharapkan ialah nilai hormat, toleransi dan empati yang lahir daripada perayaan membantu memelihara keharmonian negara.
Secara umumnya, sambutan perayaan di Malaysia seharusnya dilihat bukan sekadar tradisi budaya atau acara tahunan, tetapi sebagai ruang sosial yang menyatukan rakyat dalam kepelbagaian.
Sebagai masyarakat majmuk yang meraikan pelbagai perayaan, nilai saling menghormati, keterbukaan dan keikhlasan menerima perbezaan perlu terus dipupuk.
Tradisi kunjung-mengunjung, rumah terbuka serta perkongsian makanan dan budaya sebenarnya menjadi jambatan yang merapatkan jurang antara kaum.
Jika semangat ini terus dipelihara dan disuburkan oleh semua lapisan masyarakat, perayaan bukan sahaja menceriakan kehidupan sosial, malah mampu menjadi alat penting memperkukuh perpaduan serta memelihara keharmonian negara untuk generasi akan datang.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Noor Mohamad bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
e-mel: nmohd77@upm.edu.my