
SAUDARA PENGARANG
- Kesan ekonomi akibat konflik berlarutan: Gangguan rantaian bekalan, kenaikan harga tenaga, kos logistik, dan ketidaktentuan pasaran memerlukan pemulihan jangka panjang.
- Enam bulan akan datang diramal kritikal; tekanan kos, inflasi dan pengurangan operasi perniagaan boleh menjejaskan pekerjaan dan kehidupan rakyat.
- Kerajaan menyediakan bantuan bersasar, penjimatan perbelanjaan dan dasar seperti BUDI MADANI serta BDR; rakyat perlu berjimat dan bersama-sama meningkatkan kemahiran.
Walaupun Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah mencapai perjanjian damai melalui Memorandum Islamabad namun kesan ekonomi yang tercetus akibat konflik tersebut tidak akan lenyap dalam masa singkat.
Secara prinsipnya, menamatkan perang adalah satu perkara, tetapi memulihkan ekonomi dan keyakinan pasaran adalah proses yang jauh lebih panjang.
Ironinya, gangguan rantaian bekalan, ketidakstabilan harga tenaga, peningkatan kos logistik serta ketidaktentuan pasaran global memerlukan tempoh yang lebih panjang untuk kembali pulih.
Bagi Malaysia, pemulihan dijangka berlaku secara berperingkat dan bergantung kepada sejauh mana kestabilan geopolitik Asia Barat dapat terus dikekalkan.
Justeru tempoh masa beberapa bulan yang akan datang khususnya sekitar enam bulan yang akan datang dilihat bakal menjadi jangka masa yang sangat mencabar ekonomi negara dan kehidupan rakyat.
Senario yang paling membimbangkan sekarang ialah, penutupan Selat Hormuz untuk tempoh yang lama sebelum ini sudah mula memberi kesan besar kepada ekonomi negara, khususnya melalui kenaikan harga tenaga, kos pengangkutan dan tekanan inflasi.
Walaupun Malaysia adalah negara pengeluar minyak, namun kita tidak boleh lari dari kenyataan betapa tidak akan terlepas daripada tempias penutupan selat tersebut yang mula mencetuskan gangguan terhadap rantaian bekalan yang serius di peringkat global.
Dalam konteks ini, laporan kajian yang dilaksanakan oleh pihak Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) terhadap kesan perang AS-Israel ke atas Iran menunjukkan bahawa konflik tersebut telah menyebabkan harga tenaga dan baja melonjak dengan ketara.
Keadaan ini sekali gus dijangka menyebabkan lebih 30 juta penduduk dunia terjerumus ke dalam keadaan tidak menentu di 160 negara. Situasi tersebut wajar mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kita semua.
Apa yang nyata sekarang ialah, kesan krisis tersebut jelas berpindah ke peringkat domestik melalui peningkatan kos pengangkutan, logistik, harga barangan keperluan serta perbelanjaan harian rakyat.
Fenomena tersebut menunjukkan negara kini berada dalam fasa baharu pengurusan impak krisis, iaitu peralihan daripada kejutan luaran kepada penyesuaian kos domestik yang semakin nyata.
Beberapa data yang ada menunjukkan impak ketara konflik ini. Antaranya, kadar inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatat kenaikan kepada 137.1 berbanding 134.4 pada tempoh sama tahun lalu.
Selain itu, seramai 38,953 individu direkodkan kehilangan pekerjaan (LOE) sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini dengan majoriti kes melibatkan pekerja berumur 25 hingga 39 tahun.
Secara umumnya, fenomena ini sebahagian besar dipengaruhi oleh langkah penstrukturan semula organisasi dan pelarasan operasi perniagaan susulan situasi semasa ekonomi.
Lazimnya, impak sebenar krisis besar seperti ini akan mengambil sedikit masa untuk sampai sepenuhnya kepada ekonomi domestik menerusi kos import, keputusan pelaburan dan sentimen pengguna.
Maka, tempoh suku kedua 2026 dilihat sebagai fasa yang cukup kritikal untuk menilai sama ada tekanan kos yang dihadapi syarikat akan diterjemahkan kepada pengurangan operasi atau peluang pekerjaan.
Justeru walaupun perang tamat, kita tetap perlu bersiap siaga untuk menghadapi seterusnya mengharungi pelbagai lagi kemungkinan yang lebih serius yang boleh berlaku dalam tempoh enam bulan akan datang.
Dalam hal ini, semua pihak mengharapkan tidak menerima impak besar angkara konflik yang sedang berlarutan dan belum menampakkan sebarang tanda akan reda dalam masa terdekat.
Misalnya, golongan pekerja berharap tidak menjadi mangsa pendekatan berhati-hati majikan yang cuba mengambil jalan mudah untuk mengurangkan kos operasi dengan memberhentikan atau mengurangkan jumlah pekerja.
Manakala para majikan pula meletakkan harapan yang tinggi agar konflik ini selesai dengan segera sekali gus boleh terus bertahan meneruskan operasi perniagaan masing-masing.
Pada masa yang sama, rakyat pula berharap dan mahukan agar kebajikan terus terpelihara, harga barangan dikawal dan kos sara hidup diuruskan dengan efektif.
Namun hakikatnya, banyak perkara berlaku di luar kawalan rakyat, majikan mahupun kerajaan. Ironinya, ada perkara yang kita boleh urus dan kawal, tapi ada perkara yang kita tetap akan terima tempiasnya seperti konflik ini.
Apa yang pasti, masalah ekonomi yang sedang berlaku adalah ‘sangat benar dan serius’, yakni bukan sekadar ancaman, ramalan atau andaian kemungkinan semata-mata.
Sedar atau tidak kita sedang menghadapinya, dan perlu menambahkan tahap kesiapsagaan di pelbagai peringkat.
Sebagai individu antara langkah wajar dan penting yang boleh kita amalkan selain sentiasa cakna atau ambil tahu perkembangan situasi semasa ekonomi negara ialah bijak mengurus kewangan khususnya perbelanjaan harian.
Secara umumnya, kita perlu kawal perbelanjaan, elak amalan boros atau berbelanja pada perkara yang bukan bersifat keperluan.
Sebagai pekerja, inilah masanya untuk kita belajar ilmu baharu supaya dapat menambah dan meningkatkan pelbagai kemahiran yang boleh membantu sumbangan kita terhadap peningkatan perkhidmatan dan produktiviti kepada majikan.
Ini sekali gus akan meningkatkan tahap kepercayaan, keyakinan dan kebergantungan majikan kepada kita.
Ini juga bukan masanya untuk kita merungut, berputus asa atau menuding jari menyalahkan pihak lain.
Hakikatnya pihak kerajaan sedang melakukan pelbagai usaha dan inisiatif bagi mengawal dan mengurus impak angkara konflik, selain membantu meringankan beban dan kos sara hidup rakyat.
Antara pendekatan kerajaan yang paling signifikan ialah melalui pelaksanaan program BUDI MADANI bagi diesel dan RON95 di mana kerajaan mengekalkan bantuan bersasar supaya majoriti rakyat masih menikmati harga bahan api yang lebih rendah.
Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) sebagai usaha menjimatkan penggunaan tenaga di pejabat dan kenderaan ulang-alik ke tempat kerja juga dilihat mula memberikan kesan baik apabila berjaya menjimatkan RM4.22 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 2.14 juta liter setakat ini.
Kerajaan juga telah mengambil tindakan drastik dengan melaksanakan langkah penjimatan ketat membabitkan perbelanjaan menteri dan kementerian, dengan penjimatan itu disalurkan semula sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat.
Secara keseluruhannya, kerajaan telah mengarahkan semua kementerian dan agensi untuk mengurangkan perbelanjaan operasi susulan kesan konflik di Asia Barat.
Tuntasnya, konflik di Asia Barat adalah antara detik paling sukar yang perlu kita harungi bersama-sama.
Ini meski pun, sejarah membuktikan bahawa rakyat Malaysia telah melalui pelbagai krisis, yakni daripada krisis kewangan Asia 1997, krisis kewangan global 2008 sehingga pandemik COVID-19.
Setiap kali berdepan cabaran besar, daya tahan, kesederhanaan dan semangat kebersamaan menjadi faktor penting yang membantu rakyat mengharunginya.
Justeru, kita perlu sentiasa bersiap siaga dengan cara bersatu padu, bersedia secara mental dan emosi, yakin dan percaya dengan usaha kerajaan serta perlu bijak mengurus kewangan dan kehidupan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia.
E-mel: mohd77@upm.edu.my