
PHILADELPHIA, 23 Jun – Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, menegaskan aspek keselamatan perlu diutamakan selepas perlawanan Kumpulan I menentang Iraq pada Piala Dunia 2026 terganggu akibat ribut kuat yang menyebabkan penangguhan panjang di sini, pada Isnin.
- Perancis sah ke pusingan kalah mati dengan enam mata daripada dua perlawanan.
- Aksi dihentikan lebih dua jam akibat cuaca buruk, memberi kesan kepada rentak permainan pemain.
- Deschamps tekankan keputusan hentikan perlawanan wajar, perlu patuhi prosedur keselamatan tempatan.
- Fokus kini pada perlawanan terakhir menentang Norway untuk tentukan kedudukan juara kumpulan.
Perancis tetap mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati selepas mengutip enam mata daripada dua perlawanan awal, namun aksi tersebut terpaksa dihentikan lebih dua jam berikutan keadaan cuaca buruk.
Menurut Deschamps, situasi itu merupakan pengalaman pertama sepanjang kariernya sebagai jurulatih dan berharap ia tidak berulang.
“Dengan hujan yang turun, kami terpaksa keluar dan berlindung untuk sementara waktu. Ini kali pertama ia berlaku kepada saya, dan saya harap ia yang terakhir, begitu juga untuk pemain,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Beliau bagaimanapun menegaskan keputusan untuk menghentikan perlawanan adalah wajar dan perlu dipatuhi berdasarkan prosedur keselamatan tempatan.
“Kita tidak boleh melawan cuaca seperti itu. Apabila ada risiko, kita perlu patuh kepada peraturan tempatan. Saya menghormatinya, ia tidak menjadi masalah kepada saya,” katanya.

Deschamps turut menekankan bahawa tumpuan kini beralih kepada aksi terakhir Kumpulan I menentang Norway, yang akan menentukan kedudukan juara kumpulan serta laluan seterusnya dalam kejohanan.
“Matlamat kini adalah untuk mendapatkan kedudukan terbaik, iaitu tempat pertama, kerana Norway adalah pasukan yang sangat baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji ketua pasukan, Kylian Mbappe, yang terus menunjukkan ketajaman di hadapan gol serta kepimpinan di atas padang.
“Dia berada di atas padang untuk menjaringkan gol, dan dia melakukannya. Dia juga menjalankan peranan sebagai kapten dengan baik, di dalam dan luar padang,” kata Deschamps.
Jurulatih Iraq, Graham Arnold, turut mengakui pengalaman luar biasa berdepan penangguhan dua jam itu memberi kesan kepada rentak permainan anak buahnya.
Beliau berkata ia merupakan situasi pertama dialami sepanjang kariernya sebagai pemain dan jurulatih, serta menyifatkan ia menyukarkan perancangan perlawanan.
“Penangguhan dua jam itu jelas menjadikan perlawanan lebih sukar untuk pemain,” katanya.
Namun, Arnold tetap melihat beberapa aspek positif termasuk penguasaan bola oleh Iraq, walaupun mengakui Perancis lebih klinikal di depan gol. – REUTERS