
KOTA KINABALU, 23 Jun – Pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) dijangka mampu mengurangkan ketirisan sehingga satu bilion liter setahun, selain mengekang aktiviti penyeludupan bahan api itu.
- Sistem MyKad memastikan hanya rakyat Malaysia menikmati subsidi diesel, menutup ruang penyalahgunaan dan pembelian oleh bukan warganegara.
- Langkah dijangka membantu menjamin kestabilan bekalan bahan api dalam negara.
- Kelayakan: 200 liter sebulan asas; pikap/jip boleh mohon tambahan 100 liter; maksimum 300 liter; diesel subsidi RM2.10 seliter mulai 1 Julai.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar menggunakan sistem berasaskan MyKad itu memastikan hanya rakyat Malaysia yang layak menikmati subsidi diesel, sekali gus menutup ruang penyalahgunaan yang berlaku di bawah kaedah subsidi terbuka sebelum ini.
Langkah itu juga dijangka membantu menjamin kestabilan bekalan bahan api dalam negara.
“Di bawah BUDI Diesel, kita dapat mengurangkan ketirisan yang berlaku kerana penggunaan MyKad bermakna mereka yang bukan warganegara tidak boleh menikmati subsidi tersebut dan perlu membeli pada harga pasaran.
“Ini merupakan antara kriteria penting bagi mengurangkan risiko ketirisan. Anggaran kita adalah untuk mengurangkan ketirisan sehingga satu bilion liter kerana langkah ini bukan sahaja mengurangkan pembayaran subsidi yang tidak sepatutnya, malah membantu memastikan bekalan diesel dalam negara kekal stabil,” katanya.
Berbanding sebelum ini yang diberi secara terbuka tanpa pengesahan identiti pengguna.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel kepada pengamal media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Di bawah pembaharuan subsidi itu, individu yang layak diberikan kelayakan asas sebanyak 200 liter sebulan untuk pembelian bahan api bersubsidi termasuk RON95 dan diesel.
Sementara itu, pemilik kenderaan kategori pikap dan jip boleh memohon tambahan kuota sebanyak 100 liter sebulan, menjadikan jumlah kelayakan maksimum sebanyak 300 liter sebulan.
Harga subsidi diesel pula ditetapkan pada kadar RM2.10 seliter berkuat kuasa 1 Julai depan.