fb fb fb fb fb

Dua lelaki ditembak di Jalan Rasah, seorang maut

Foto hiasan

SEREMBAN, 10 Disember - Dua lelaki warga tempatan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban selepas terlibat dalam satu kejadian tembak menembak di Jalan Rasah berhampiran Tol Port Dickson.

Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Alzafny Ahmad menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya
menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian tersebut kira-kira pukul 7.53 pagi tadi.

Siasatan awal mendapati, terdapat kesan tompokan darah di atas jalan raya dan beberapa kelongsong peluru turut dijumpai.

Pemeriksaan pada kenderaan mangsa turut mendapati beberapa kesan tembakan

"Kedua-dua mangsa adalah seorang lelaki berbangsa India berusia 47 tahun, manakala seorang lagi mangsa lelaki berbangsa Melayu berusia 43 tahun telah dibawa oleh saksi ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk mendapatkan rawatan", katanya.

Bagaimanapun, seorang daripadanya disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

Polis percaya suspek adalah dua lelaki bangsa tidak dapat dikenal melepaskan tembakan dengan menaiki motosikal.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971).  

ROSLINA BINTI DIN