fb fb fb fb fb

Dua lelaki ditahan, dadah bernilai lebih RM1.2 juta dirampas di KLIA 2

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan bagasi yang diguna suspek untuk menyeludup dadah pada sesi sidang media di sini hari ini/ BERNAMA

SEPANG, 31 Mei - Dua lelaki tempatan ditahan serta 38.8 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.2 juta dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di sini, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata menerusi operasi pada 4 pagi itu, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang membawa dua bagasi berisi 37 bungkusan plastik disyaki syabu sebelum seorang lagi suspek berumur 36 tahun yang disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah ditahan di sebuah hotel berdekatan.

“Kedua-dua suspek ini bertindak sebagai pengangkut kepada sindiket pengedaran dadah.

"Kesemua dadah yang dibawa ini dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Sarawak dan bekalan dadah disyaki diperoleh dari negara jiran di utara negara,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya, sindiket pengedaran dadah mengupah kedua-dua suspek bagi membawa bekalan dadah ke Sarawak iaitu di Bintulu, Sibu dan Miri.

Hussien berkata kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai menerima upah RM2,500 bagi setiap perjalanan dan semakan mendapati mereka telah melakukan tujuh perjalanan ke Sarawak dari Mac hingga Mei.

“Mereka diberikan tiket kapal terbang dan juga penginapan di sekitar KLIA, jadi kerja mereka datang dalam dua atau tiga hari dan mereka diberikan beg berisi dadah untuk dibawa ke Sarawak. Di Sarawak, ahli sindiket akan tunggu di tempat penyerahan,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah selain positif dadah methamphetamine dan polis turut menyita wang tunai berjumlah RM600.

Ujarnya hasil analisa dadah dirampas mendapati ia boleh dibekalkan kepada 77,700 pengguna dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.5 gram.

Menurutnya suspek direman selama tujuh hari hingga Khamis depan bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis katanya mempertingkatkan kawalan dan risikan susulan pertambahan cubaan menyeludup dadah.

ZEHRA BINTI ZAMBRI