fb fb fb fb fb

40 individu ditahan terlibat penipuan pelaburan 'Yomaex' - Polis

Ramli Mohamed Yoosuf

BUKIT AMAN, 4 November- Seramai 40 individu berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan pelaburan dikenali sebagai 'Yomaex'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, 38 daripadanya adalah pemilik perniagaan, pengarah syarikat dan setiausaha syarikat, manakala dua lagi adalah pegawai bank dan agen pencari akaun kedai.

Sebanyak 76 kertas siasatan dibuka melibatkan kerugian berjumlah RM50.6 juta.

"Siasatan setakat ini telah mengesan sejumlah 63 akaun bank yang digunakan oleh sindiket penipuan ini melibatkan 32 syarikat dan 19 perniagaan.

"PDRM percaya, syarikat dan perniagaan ini didaftarkan semata-mata untuk pengoperasian skim penipuan ini," katanya pada sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di sini.

Kes disiasat dibawah Seksyen 420 kanun Keseksaan.

Dalam sidang media sama, Ramli Mohamed berkata JSJK menahan enam lelaki warga asing dan dua wanita warga tempatan disyaki terlibat dalam satu sindiket penipuan Business Email Compromise (BEC) yang menjalankan operasi di Malaysia.

Suspek berusia antara 24 hingga 39 tahun itu ditahan ketika serbuan ke atas lima premis sekitar Kuala Lumpur berdasarkan risikan pada 23 Oktober lalu.

Kejayaan tersebut juga hasil kerjasama JSJK bersmaa Australian Federal Police (AFP).

"Melalui maklumat AFP, terdapat sebuah syarikat di Australia telah melaporakan kerugian berjumlah AUD134,576.00 atau RM403,864.24 setelah berurusan melalui transaksi bank, kad kredit, nombor telefon dan alamat yang dikaitkan dengan Malaysia," tambahnya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)C Akta Imigresen 1959.

SITI AISHAH BINTI MD ISA