Perolehan aset pertahanan perlu lebih telus, kos munasabah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (duduk) menghadiri program Semarak Kenegaraan di PUSASDA di sini. / Foto BERNAMA

PORT DICKSON, 24 Julai – Urusan perolehan aset pertahanan perlu dilaksanakan secara lebih telus dan pada kos munasabah dengan mengutamakan rundingan secara terus antara kerajaan dengan kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan rundingan antara kerajaan untuk kurangkan kos dan hentikan penggunaan ejen yang mengenakan bayaran berlebihan.
  • ATM tentukan keperluan teknikal berdasarkan kepakaran; kerajaan pantau aspek kos dan tatakelola.
  • Keputusan pembelian hanya dibuat berdasarkan keperluan pertahanan sebenar, harga, spesifikasi dan kepentingan operasi; bukan campur tangan pihak tidak pakar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu penting bagi mengurangkan kos serta menghentikan amalan penggunaan ejen yang mengenakan bayaran terlalu tinggi.

“Pembelian kita sedaya upaya sekarang dibuat antara kerajaan. Kos lebih rendah dan penggunaan ejen yang mengambil dana terlalu tinggi dihentikan.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut memberi sokongan penuh terhadap dasar baharu ini, iaitu memastikan pembelian dibuat secara telus serta menghentikan penggunaan ejen yang merugikan negara,” katanya.

Beliau menyatakannya ketika berucap pada program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini.

Jelasnya lagi, keperluan sesuatu aset perlu ditentukan ATM berdasarkan kepakaran dimiliki, manakala kerajaan bertanggungjawab memastikan aspek kos serta tatakelola dipatuhi.

Menurut Datuk Seri Anwar, keputusan mengenai jenis pesawat, kapal atau aset darat tidak seharusnya dicampuri pihak yang tidak mempunyai kepakaran berkaitan.

Sebaliknya, proses perolehan perlu berasaskan keperluan sebenar pertahanan negara dengan mengambil kira harga, spesifikasi dan kepentingan operasi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.