Laporan RCI diharap pulih amanah, perkukuh integriti Tabung Haji

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji diharap menjadi titik penamat kepada episod hitam yang mencalar institusi itu, sekali gus memulihkan semula kepercayaan rakyat serta memperkukuh integriti dan ketelusan pengurusannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendedahan RCI penting supaya rakyat mengetahui dakwaan salah urus dan tuntutan ketelusan dalam pengurusan Tabung Haji.
  • Setiap simpanan ialah amanah hasil usaha gigih rakyat, bukan lebihan, pengurusan mesti menghormati harapan dan doa jutaan umat Islam.
  • Semua pihak yang terlibat mesti dipertanggungjawabkan; kerajaan perlu berdepan kebenaran dan laksanakan pembaharuan menyeluruh untuk memulihkan integriti.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pendedahan melalui RCI itu merupakan detik penting kepada negara, memandangkan rakyat berhak mengetahui bagaimana institusi amanah umat Islam itu didakwa telah disalah urus oleh pihak tertentu hingga memerlukan siasatan di peringkat tertinggi.

Beliau menegaskan, setiap simpanan di Tabung Haji adalah hasil titik peluh rakyat pelbagai lapisan masyarakat yang menabung bertahun-tahun demi satu impian menjadi tetamu Allah.

“Wang yang disimpan bukan lebihan, tetapi datang daripada usaha gigih seperti menoreh getah, mengusahakan bendang, memandu teksi dan berniaga kecil-kecilan. Amanah ini sangat besar kerana ia melibatkan harapan dan doa jutaan umat Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, sebarang kecuaian dalam mengurus amanah tersebut bukan sekadar menjejaskan imej institusi, malah mengkhianati kepercayaan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bukan masanya untuk menutup kelemahan atau mempertahankan mana-mana pihak, sebaliknya semua yang terlibat perlu dipertanggungjawabkan.

“Kerajaan MADANI memilih untuk berdepan kebenaran walaupun sukar. Kita tidak boleh membiarkan episod ini dilupakan tanpa sebarang tindakan. Keberanian mengakui kesilapan adalah langkah pertama untuk memperbaiki keadaan,” katanya.

Beliau berharap laporan RCI itu menjadi pemangkin kepada pembaharuan menyeluruh, sekali gus memastikan Tabung Haji kembali sebagai institusi yang telus, berintegriti dan benar-benar menjaga kepentingan umat Islam, demi generasi kini dan masa depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.