Muzium Negeri P. Pinang jadi sumber rujukan generasi muda

Foto FB Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN, 24 Julai – Muzium Negeri Pulau Pinang di Jalan Farquhar akan menjadi sumber rujukan generasi muda bagi memastikan sejarah negeri itu tidak tenggelam dalam arus pembangunan moden.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh daya tarikan pelancongan Pulau Pinang melalui pameran sejarah dan warisan negeri.
  • Menghimpunkan artifak, gambar dan potret dari prasejarah hingga sebelum serta selepas kemerdekaan untuk gambaran sejarah menyeluruh.
  • Dibangunkan hampir RM18 juta, terletak dalam Zon Tapak Warisan Dunia, dan dibuka percuma kepada orang ramai sehingga 31 Ogos.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, muzium itu mampu memperkukuh daya tarikan pelancongan negeri menerusi pameran sejarah dan warisan Pulau Pinang.

“Muzium ini menghimpunkan sejarah, artifak, gambar, potret serta pelbagai aspek sosial dan budaya Pulau Pinang sebagai satu pusat rujukan.

“Ia merangkumi sejarah bermula dari Guar Kepah hingga sebelum dan selepas kemerdekaan, sekali gus memberi gambaran menyeluruh mengenai Pulau Pinang serta menggalakkan pelancong memahami negeri ini dengan lebih mendalam,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Muzium Negeri Pulau Pinang yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Dibangunkan dengan kos hampir RM18 juta, muzium itu menampilkan elemen prasejarah di tengah-tengah bandar raya dan menjadi antara produk pelancongan terbaharu di bahagian pulau.

Proses pemulihan dan baik pulih muzium berkenaan sebelum ini terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tapak muzium itu pernah menempatkan Penang Free School, sekolah aliran bahasa Inggeris tertua di Asia Tenggara.

Kedudukannya dalam Zon Tapak Warisan Dunia turut membuka lembaran baharu kepada sektor pelancongan negeri.

Muzium Negeri Pulau Pinang dibuka secara percuma kepada orang ramai sehingga 31 Ogos ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.