TANJUNG SEPAT, 13 Julai-Lagu "Ragam Rumah Tangga" dendangan Tan Sri P. Ramlee membawa tuah kepada Zainol Roslan apabila berjaya menjuarai pertandingan akhir Bintang P. Ramlee peringkat Negeri Selangor.
Manakala pasangannya Nabilah Mohammad yang membawa lagu duet "Hancur Badan dikandung Tanah" pula memenangi bagi kategori wanita (Saloma).
Mereka berdua berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 5,000, sijil dan trofi seterusnya akan mewakili Negeri Selangor ke peringkat Zon Tengah dalam pertandingan itu.
Sementara itu, Zainol Roslan yang ditemui RTM tidak menyangka akan menjadi johan memandangkan tiada latihan dan persiapan dilakukan bagi menyertai pertandingan tersebut.
"Kami tidak ada latihan bersama dan tidak merancang untuk memasuki pertandingan kali ini.
"Mungkin ini rezeki kami dan Insya-Allah kami akan buat sehabis baik", kata Zainol.
Sementara itu Penerbit program Bintang P.Ramlee, Norain Muftarharuddin berkata, mereka yang berjaya akan bertanding di peringkat seterusnya iaitu Zon Tengah yang akan diadakan pada 28 Julai ini di pusat membeli belah My Town Cheras.
"Jadi pemenang yang berada di peringkat di peringkat akhir Selangor ini iaitu tiga pasangan ini akan berentap di Zon Tengah dan di peringkat kebangsaan.
"Jadi, kita harap mereka membuat persediaan yang cukup baik", kata Norain.
Hadiah kepada pemenang di sampaikan Pengarah Selangor fm Puan Noriza Salleh diiringi Ketua Bahagian Rancangan Jabatan Penyiaran Selangor puan Yusmawati Yunos.
Pertandingan yang berlangsung di Dataran Pantai Batu Laut itu menyaksikan lima peserta bintang P. Ramlee bersama pasangan masing masing berentap bagi menjuarai pertandingan itu.