G-Dragon dilantik duta kehormat sesi jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO

G-Dragon/AFP

SEOUL, 3 Julai- Bintang K-pop, G-Dragon akan menjadi wajah utama sesi Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO yang akan datang di Busan ketika Korea Selatan bersiap sedia menjadi tuan rumah perhimpunan antarabangsa itu buat kali pertama, menurut pegawai pada Jumaat, lapor Agensi Berita Yonhap.

RINGKASAN BERITA AI
  • G-Dragon dilantik duta kehormat bagi sesi ke-48 Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO di Busan.
  • Beliau menyokong kempen global 'Heritage in Peace' bersama Yayasan JusPeace dan UNESCO untuk menggalakkan perlindungan tapak warisan.
  • Sumbangan hak cipta beliau menubuhkan Yayasan JusPeace; dana kempen disalurkan ke Dana Warisan Dunia membantu tapak terancam.

Perkhidmatan Warisan Korea berkata penyanyi rap dengan nama sebenarnya Kwon Ji-yong itu dilantik sebagai duta kehormat bagi sesi ke-48 jawatankuasa berkenaan, yang berlangsung dari 19 hingga 29 Julai di bandar pelabuhan tenggara itu.

“G-Dragon ialah artis yang mempunyai pengaruh global, bukan sahaja dalam K-pop malah merentasi budaya dan seni yang lebih luas,” menurut agensi itu dalam satu kenyataan.

Agensi itu menyifatkan beliau sebagai “rakan kerjasama ideal” untuk meningkatkan kesedaran antarabangsa mengenai kepentingan Jawatankuasa Warisan Dunia, iaitu badan utama UNESCO yang membuat keputusan berhubung penyenaraian dan perlindungan tapak warisan budaya serta semula jadi.

Korea Selatan akan menjadi tuan rumah jawatankuasa itu buat kali pertama dalam tempoh 38 tahun sejak menyertai Konvensyen Warisan Dunia pada 1988.

Artis berusia 37 tahun itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini turut memperluas kegiatannya dalam bidang kebajikan.

Pada 2024, beliau menyumbangkan hak ciptanya untuk menubuhkan Yayasan JusPeace, iaitu sebuah pertubuhan kepentingan awam. Beliau kini berkhidmat sebagai pengerusi kehormat yayasan itu.

Sebagai sebahagian daripada peranannya sebagai duta, G-Dragon akan menyokong kempen global bertajuk “Heritage in Peace”, yang akan dilancarkan bersama oleh yayasan itu dan UNESCO pada Jumaat depan.

Inisiatif itu bertujuan menggalakkan penyertaan individu, perniagaan dan bandar dalam usaha melindungi tapak Warisan Dunia.

Dana yang dikumpul melalui kempen itu akan disalurkan kepada Dana Warisan Dunia bagi membantu melindungi tapak yang terancam akibat konflik bersenjata, perubahan iklim dan bencana alam.

Menurut agensi itu, G-Dragon dijangka muncul dalam video promosi dan acara berkaitan kempen berkenaan, dengan membawa mesej yang berteraskan “keamanan melalui budaya dan penyertaan”.

“Warisan dunia ialah aset bersama yang mesti dilindungi oleh seluruh manusia,” kata wakil G-Dragon, sambil menambah kempen itu bertujuan mencetuskan tindakan bersama melalui mesej keamanan.

G-Dragon sebelum ini pernah berkhidmat sebagai duta kehormat Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang diadakan di bandar tenggara Gyeongju tahun lepas. -BERNAMA-YONHAP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.