20 peserta Bintang Kecil rebut peluang wakili KLFM

Pengurus stesen Radio KL.fm, Noorliza Nordin

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Bakat, keyakinan diri dan sokongan keluarga terus menjadi kekuatan Pertandingan Bintang Kecil 2026 yang menjadi platform mencungkil bakat seni suara kanak-kanak.

RINGKASAN BERITA AI
  • 20 peserta disaring, lima terbaik dipilih untuk peringkat akhir, juara akan wakili KLFM dan Kuala Lumpur ke pertandingan kebangsaan.
  • Program tahunan menjadi platform membina keyakinan diri kanak-kanak dan mengasah kebolehan sebelum beraksi di pentas lebih besar.
  • Sokongan padu keluarga memeriahkan acara, membantu perkembangan bakat dan mengeratkan hubungan antara ibu bapa serta anak.

Seramai 20 peserta bersaing di peringkat saringan bagi merebut tempat dalam kelompok lima terbaik sebelum seorang daripadanya dipilih mewakili KLFM dan Kuala Lumpur ke pertandingan peringkat kebangsaan.

Peserta, Haifa Sufiya Hairul Effendi berkata beliau telah membuat segala persediaan bagi menghadapi pertandingan hari ini dan berharap dapat memberikan persembahan terbaik.

Manakala, peserta Adriel Darzif Jefree berkata penyertaannya dalam Bintang Kecil merupakan pengalaman pertamanya, namun beliau sudah biasa membuat persembahan nyanyian di pelbagai acara luar dan peserta Nur Sofea Adelia A. Razif pula yakin mampu memberikan persembahan terbaik pada pertandingan tersebut.

Sementara itu, Pengurus stesen Radio KL.fm, Noorliza Nordin berkata, program tahunan itu bukan sahaja mengetengahkan bakat kanak-kanak berusia bawah 12 tahun, malah menjadi platform membina keyakinan diri dan mengasah kebolehan mereka sebelum melangkah ke pentas yang lebih besar.

“Kita lihat program ini menjadi platform kepada peserta cilik membina keyakinan diri sejak usia muda. Setiap tahun kita menyaksikan pelbagai bakat diketengahkan, sama ada melalui lagu popular mahupun lagu patriotik.

Paling penting, program ini memberi peluang kepada mereka memberanikan diri membuat persembahan di pentas yang lebih besar seperti RTM”, katanya.

Suasana pertandingan turut dimeriahkan dengan sokongan padu keluarga yang sentiasa memberi dorongan kepada anak-anak sepanjang proses uji bakat dan saringan.

Bagi ibu bapa, penyertaan dalam pertandingan itu bukan sekadar mengejar kemenangan, sebaliknya peluang mengembangkan bakat dan membina keyakinan anak-anak.

“Program seperti Bintang Kecil ini juga menjadi medan untuk aktiviti bersama keluarga. Kita dapat lihat ibu bapa setia datang memberi sokongan kepada anak-anak, daripada sesi uji bakat sehinggalah ke peringkat saringan.

“Aktiviti seperti ini bukan sahaja menyokong perkembangan bakat anak-anak, malah mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan keluarga”, katanya.

Debaran kini tertumpu kepada lima peserta terbaik yang berjaya melangkah ke peringkat akhir, dengan keputusan rasmi hanya akan diumumkan esok menerusi segmen Rentak Pagi KLFM.

Juara yang bakal mewakili KLFM dan Kuala Lumpur akan membawa cabaran ke Debaran Bintang Kecil 2026 serta Kemuncak Bintang Kecil 2026 yang dijadual berlangsung di Negeri Sembilan dan Sarawak pada September ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.