China-Sweden sepakat perkukuh kerjasama, prinsip multilateralisme

Menteri Luar China, Wang Yi (kiri) dan rakan sejawatnya dari Sweden, Maria Malmer Stenergard/ REUTERS

SWEDEN, 5 Julai – Menteri Luar China, Wang Yi dan rakan sejawatnya dari Sweden, Maria Malmer Stenergard, mencapai persetujuan untuk memperkukuh kerjasama, mempertahankan prinsip multilateralisme serta memelihara ketenteraman antarabangsa berasaskan undang-undang antarabangsa selepas mengadakan pertemuan di Stockholm pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuhan kerjasama dalam perdagangan, inovasi teknologi, peralihan hijau dan ekonomi kitaran serta pertukaran budaya dan rakyat.
  • Sokongan bersama terhadap multilateralisme dan sistem antarabangsa berasaskan PBB serta undang-undang antarabangsa untuk menangani cabaran global.
  • Menjaga hubungan politik melalui rundingan berkala, menyokong prinsip 'Satu China' serta memudahkan perdagangan, pelaburan dan akses pasaran.

Wang Yi yang juga anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China berkata, China dan Sweden mempunyai sejarah panjang dalam hubungan serta pertukaran dua hala.

Sejak China melaksanakan dasar pembaharuan dan keterbukaan, kedua-dua negara telah menjadi rakan dagang terbesar antara satu sama lain di rantau Asia dan Nordik.

Pengalaman berharga hasil hubungan puluhan tahun itu menunjukkan bahawa kedua-dua pihak perlu mengekalkan persepsi yang objektif dan rasional antara satu sama lain, selain mengutamakan rasa saling menghormati serta mencari titik persamaan walaupun wujud perbezaan.

Wang berkata, hubungan China–Sweden sebelum ini pernah mengalami cabaran, namun sejak lawatan Stenergard ke China tahun lalu, hubungan dua hala kembali menunjukkan perkembangan positif dan perlu dipelihara.

China, bersedia bekerjasama dengan Sweden bagi memastikan hubungan dua hala terus berkembang secara stabil dan sihat, selain berharap Sweden terus mematuhi prinsip ‘Satu China’ sebagai asas hubungan politik kedua-dua negara.

Beliau turut memaklumkan bahawa lebih 10,000 syarikat Sweden kini menjalankan aktiviti perdagangan dengan China, dan China mengalu-alukan penyertaan lebih banyak syarikat Sweden untuk memanfaatkan peluang dalam pasaran besar negara itu serta rantaian industri yang lengkap.

Pada masa sama, beliau berharap Sweden menyediakan persekitaran perniagaan adil, saksama dan tidak mendiskriminasi kepada syarikat China yang beroperasi di negara berkenaan.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk memanfaatkan platform seperti Jawatankuasa Bersama China–Sweden bagi Kerjasama Sains dan Teknologi bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang baharu termasuk inovasi teknologi, peralihan hijau serta ekonomi kitaran, selain meningkatkan pertukaran budaya dan hubungan rakyat.

Wang turut berkata bahawa landskap antarabangsa kini berdepan perubahan kompleks, dengan mekanisme multilateral seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berdepan cabaran besar, sekali gus menimbulkan risiko dunia kembali kepada keadaan tidak berasaskan peraturan.

Beliau menegaskan China dan Sweden sebagai penyokong multilateralisme serta penerima manfaat perdagangan bebas, bersedia memperkukuh kerjasama bagi mempertahankan sistem antarabangsa berteraskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta undang-undang antarabangsa.

Sementara itu, Maria Malmer Stenergard berkata kerajaan Sweden memberi keutamaan tinggi terhadap hubungan dengan China yang disifatkan semakin berkembang dengan potensi besar.

Beliau memaklumkan kedua-dua negara telah bersetuju untuk memperkukuh rundingan politik secara berkala sebagai rangka kerja rasmi hubungan dua hala.

Sweden, akan terus mengekalkan prinsip ‘Satu China’ serta memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, peralihan hijau, perlindungan alam sekitar, inovasi teknologi, kecerdasan buatan dan pembangunan mampan.

Beliau turut menghargai dasar pengecualian visa yang dilakukan China kepada rakyat Sweden serta menyatakan hasrat untuk memperluas pertukaran akademik, pendidikan dan hubungan antara rakyat bagi mengukuhkan asas sokongan awam terhadap hubungan dua negara.

Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai isu antarabangsa dan serantau yang menjadi kepentingan bersama, selain menikmati makan tengah hari di atas bot serta lawatan ke pelabuhan Stockholm.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.