
PHILADELPHIA, 5 Julai – Satu unit kapsul masa ditanam di Philadelphia pada Sabtu sempena sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) yang akan dibuka pada tahun 2276 sempena ulang tahun ke-500 negara itu.
- Barangan mencerminkan kehidupan, budaya dan inovasi Amerika 2026 seperti iPhone, botol Coca-Cola, cip kuantum dan teks Perlembagaan nano.
- Projek ini simbol harapan dan keyakinan terhadap kelangsungan negara serta mesej generasi kini kepada rakyat 250 tahun akan datang.
- Kapsul menjadi hadiah untuk generasi akan datang dan kenangan untuk generasi kini, membina memori Amerika untuk masa hadapan.
Antara barangan yang disimpan dalam kapsul berkenaan termasuk telefon pintar iPhone, botol Coca-Cola serta tulang ikan paus putih yang dilindungi dan dikategorikan sebagai spesies terancam.
Kapsul itu ditanam di dalam tanah menerusi satu upacara yang dihadiri pegawai America 250 serta jemputan khas.
Pesuruhjaya America 250, Reginald Brown berkata, projek berkenaan merupakan simbol harapan dan keyakinan terhadap kelangsungan negara itu pada masa hadapan.
“Majlis hari ini adalah satu tindakan penuh harapan. Ia merupakan mesej daripada satu generasi kepada rakyat Amerika 250 tahun akan datang bahawa kita yakin negara ini akan terus kekal,” katanya.
Kapsul tersebut turut menjadi hadiah bukan sahaja kepada generasi akan datang, tetapi juga sebagai kenangan untuk generasi kini dan anak-anak mereka.
Menurut beliau, barangan yang dipilih mencerminkan kehidupan, budaya dan inovasi Amerika Syarikat pada tahun 2026.
Antaranya termasuk kristal daripada bola Tahun Baharu Times Square 2026, cip kuantum dari Universiti California, Berkeley, serta model 3D tangan Abraham Lincoln.
Turut dimasukkan ialah berlian asli dari Taman Negeri Crater of Diamonds di Arkansas, syiling nano yang mengandungi teks penuh Perlembagaan Amerika Syarikat dan Perisytiharan Kemerdekaan, salinan Pocket Constitution yang ditandatangani hakim Mahkamah Agung semasa serta pelbagai memorabilia NFL.
Reginald Brown berkata, kapsul itu juga bertujuan mencipta memori berkekalan untuk generasi muda yang akan menyaksikan ulang tahun penting negara itu pada masa depan.
“Kanak-kanak berusia lapan tahun hari ini akan berusia 58 tahun apabila Amerika Syarikat menyambut ulang tahun ke-300. Kita sedang membina memori Amerika hari ini,” katanya.- REUTERS