Ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS detik bersejarah, rekod pencapaian penting – Trump

Donald Trump/ AFP

WASHINGTON, 5 Julai – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, menyifatkan sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS sebagai detik bersejarah dan antara pencapaian penting dalam sejarah negara tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump menolak cadangan menangguh acara; tegas sambutan mesti berlangsung pada 4 Julai walaupun cuaca buruk.
  • Beliau menaiki pentas lewat malam selepas orang ramai dibenarkan kembali, menegaskan tidak ada yang boleh menghalang sambutan.
  • Menganggarkan kehadiran turun dari kira-kira 375,000 kepada 150,000 selepas pemindahan; beliau simpati kepada mereka yang tidak dapat kembali.

Trump tetap menyampaikan ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan negara itu di National Mall, Washington, pada Sabtu, meskipun acara berkenaan ditangguhkan beberapa jam akibat ribut petir.

“Malam ini kita bersama-sama meraikan antara detik paling bermakna dalam sejarah, iaitu ulang tahun ke-250.

“Ada yang mencadangkan supaya acara ini ditangguhkan ke minggu depan, namun saya menolaknya kerana sambutan ini mesti berlangsung pada 4 Julai.

“Selama dua setengah abad, republik Amerika menjadi lambang kebebasan dan pencapaian luar biasa dalam sejarah manusia.

“Amerika Syarikat ialah tanah kebebasan dan negara yang paling luar biasa pernah wujud. Hari ini, kita berada pada kedudukan yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Presiden AS Donald Trump dan Wanita Pertama AS Melania Trump tiba di pentas semasa sambutan Hari Kemerdekaan AS ke-250 ​​di National Mall, Washington, DC/ AFP

Trump naik ke pentas kira-kira pukul 11.15 malam waktu tempatan selepas pihak berkuasa membenarkan orang ramai kembali ke kawasan berhampiran Monumen Washington yang sebelum itu dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Pemindahan sementara itu memaksa ribuan pengunjung berlindung di muzium dan bangunan kerajaan berhampiran sehingga keadaan cuaca kembali selamat.

Dalam ucapannya, Trump berkata beliau tetap akan hadir walaupun terpaksa menunggu sehingga awal pagi.

“Selamat malam, Amerika. Jika anda fikir perkara ini mudah, sebenarnya tidak. Saya berterima kasih kepada semua kerana melakukan perkara yang betul apabila amaran kilat dikeluarkan.

“Saya sudah katakan, walaupun saya hanya perlu berucap di hadapan seorang sahaja pada pukul 4.00 pagi, saya tetap akan berada di sini. Tiada apa yang boleh menghalang kita,” katanya.

Menurut Trump, kira-kira 375,000 orang berada di lokasi sebelum arahan pemindahan dikeluarkan, namun jumlah itu berkurangan kepada sekitar 150,000 orang apabila acara disambung semula.

Beliau turut melahirkan rasa simpati terhadap mereka yang tidak dapat kembali ke lokasi selepas pemindahan, sambil menyifatkan para hadirin sebagai rakyat yang istimewa.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.