KUALA LUMPUR, 12 Mac- Tenaga Nasional Berhad (TNB) berada di landasan tepat dalam misi memburu kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2022.
Skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin memegang rekod cemerlang mengungguli carta kedudukan liga dengan berbaki tiga perlawanan.
Bagaimanapun, Saiful mengakui anak-anak buahnya sedikit tertekan dalam misi merealisasikan impian menjadi juara.
"Cuma kita mungkin ada sedikit tekanan kerana kita nak juara liga dan kita takboleh nak buat kesilapan tapi saya rasa dari segi persediaan saya itu adalah asam garam permainan. Yang bagusnya ialah kita memiliki pasukan yang stabil di bahagian pertahanan, tengah dan hadapanlah. Kita juga berusaha sedaya upaya agar setiap permainan itu kita boleh jaringkan gol," kata Nor Saiful kepada pemberita RTM.
(Pengendali pasukan hoki TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin ditemui
pemberita RTM menjelaskan sasaran pasukannya)
TNB kini menghuni kedudukan pertama liga, dengan 24 mata di depan pencabar Terengganu Hockey Team (THT).
THT yang menghuni tangga kedua liga kurang 4 mata berbanding TNB, sementara Maybank di kedudukan ketiga dengan 16 mata.