Awie buktikan status ‘Rock King’, 20,000 peminat memenuhi Stadium Merdeka

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 September – Selepas 41 tahun mewarnai industri muzik tanah air, penyanyi rock Datuk Ahmad Azhar Osman atau Awie membuktikan pengaruhnya masih utuh apabila menghimpunkan kira-kira 20,000 peminat pada Konsert Awie Rock King: Last Man Standing di Stadium Merdeka, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konsert hampir empat jam, mempersembahkan 35 lagu termasuk karya solo, kolaborasi dan segmen tribute penuh nostalgia.
  • Pelbagai kolaborasi bersama Stacy, Akim, Black, Erra Fazira, Hattan, Amir Masdi, Hannah dan penyanyi lain memeriahkan persembahan.
  • Segmen tribute Last Man Standing menghormati P. Ramlee, M. Nasir, Alleycats, Lefthanded dan Search, diselang video khas tentang Palestin.
  • Penutup bersama Wings dengan lagu Opera Hidup, Hukum Karma, Harapan, Sejati dan Terima Kasih menutup malam penuh penghargaan.

Berlangsung selama hampir empat jam, konsert itu menyajikan 35 lagu termasuk karya popular Awie secara solo, kolaborasi bersama rakan artis serta segmen tribute bagi mengenang tokoh dan kumpulan yang banyak mempengaruhi perjalanan muziknya.

Konsert membuka tirai dengan Sayap Ilusi dalam versi akustik, sebelum Awie menghangatkan pentas menerusi Rock N Roll Ronda Randa, Mata Hati Jiwa, Tiada Rahsia Antara Kita, Di Bayang Awan dan O-Tak.

Segmen awal turut menampilkan Puteri dan Merrah yang bergandingan bersama Awie menerusi Baldu Biru dan Bernafas Dalam Lumpur.

Memasuki segmen kedua, Awie meneruskan persembahan dengan Ukiran Jiwa, diikuti kolaborasi bersama Stacy menerusi Peronda Jaket Biru serta Akim, Black dan Stacy untuk Midnight Blues.

Awie dan Akim kemudian bergandingan menerusi Ingatkan Dia, manakala Intanku Kesepian dipersembahkan bersama Black sebelum Awie kembali solo menerusi Tragedi Oktober, Bara dan Di Ambang Wati.

Segmen bertemakan cinta dan filem pula menyaksikan Awie bergandingan dengan Erra Fazira menerusi Cinta Makrifat, sebelum kedua-duanya bersama Hannah menerusi Halaman Asmara.

Awie turut berduet dengan Hannah Delisha menerusi Kita Permata, selain memperkenalkan lagu baharu Maharani dalam versi akustik, diikuti Ratuku dan Dipenjara Janji.

Antara kemuncak konsert ialah segmen tribute Last Man Standing, yang menyaksikan Awie memberikan penghormatan kepada beberapa tokoh dan kumpulan berpengaruh dalam industri muzik tanah air.

Menerusi Jeritan Batinku, Awie memberi penghormatan kepada seniman legenda P. Ramlee, sebelum bergandingan dengan Hattan untuk Gerhana dan Kepadamu Kekasih, sebagai penghormatan kepada M. Nasir.

Awie kemudian menyampaikan Layang-Layang Terputus Talinya sebagai tribute kepada Alleycats, diikuti Ku Di Halaman Rindu bagi mengenang Lefthanded.

Persembahan diteruskan dengan Gemuruh bersama Amir Masdi sebagai tribute kepada Search, sebelum kedua-duanya sekali lagi bergandingan menerusi Mentari Merah Di Ufuk Timur, yang disusuli segmen video khas berkaitan Palestin.

Bahagian terakhir konsert menyaksikan Awie kembali bersama kumpulan Wings, menerusi empat lagu ikonik iaitu Opera Hidup, Hukum Karma, Harapan dan Sejati.

Konsert berakhir dengan Terima Kasih, dipersembahkan Awie bersama Wings sebagai penutup kepada malam penuh nostalgia dan penghargaan terhadap perjalanan 41 tahun beliau dalam industri muzik.

Selain 20,000 peminat, konsert itu turut mendapat sokongan rakan artis dan penggiat industri, antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Jiwa.

Kehadiran peminat dalam jumlah besar serta sokongan rakan artis membuktikan nama Awie kekal mempunyai tempat istimewa dalam kalangan peminat muzik rock tanah air, sekali gus menjadikan Rock King: Last Man Standing sebagai antara persembahan penting dalam perjalanan seninya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.